Dhabitah perlu serlah kembali potensi

Dhabitah perlu serlah kembali potensi

Kuala Lumpur: Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri boleh menebus kekecewaan di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menyerlahkan semula potensi untuk kembali bangkit pada edisi Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata faktor umur bukan penghalang bagi Nur Dhabitah untuk terus membawa cabaran Malaysia dengan menampilkan terjunan mempersonakan sekiranya berhasrat membuat penampilan keempat berturut-turut di pentas Olimpik kelak.

“Nur Dhabitah baru sahaja berumur 25 tahun dan kalau dapat pergi (LA28) baru 29 tahun, jadi bagi saya umur itu tidak terlalu lewat, lebih-lebih lagi bagi acara 3 meter (m) papan anjal wanita.

“Dengan potensi serta kekuatan dimilikinya dia boleh buat dan menampilkan persembahan lebih baik, selagi dia membulatkan tekad ke arah Sukan Olimpik akan datang,” katanya.

Beliau berkata Persekutuan Renang Malaysia masih lagi menagih khidmat atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memandangkan statusnya yang kekal sebagai penerjun terbaik dalam negara bagi acara tersebut.

Selepas persaraan Wendy Ng Yan Yee April lepas, Bryan berkata belum ada lagi mana-mana penerjun negara yang mampu menggugat malah mencapai kualiti mahupun reputasi dimiliki Nur Dhabitah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top