Dharma selesa 'berkampung' di Indonesia

Dharma selesa 'berkampung' di Indonesia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam tahun bukan satu tempoh singkat untuk mencari rezeki di luar negara dan itulah pengalaman dilalui oleh bekas jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah yang kini menggalas tugas selaku Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia (FHI).

Meninggalkan tanah air enam tahun lalu demi mencari rezeki di negara orang buat kali pertama, Dharma sendiri tidak pernah menjangkakan dirinya mampu bertahan lama di negara jiran itu.

Namun penghargaan yang diterimanya baik daripada pihak persatuan serta rakyat Indonesia selepas berjaya mengangkat martabat sukan hoki di Indonesia, menyebabkan Dharma berat hati untuk meninggalkan tugasnya sekarang.

Faktor itu juga menguatkan hati bekas pemain skuad kebangsaan itu untuk kekal berjauhan dengan isteri serta anak-anaknya yang masih tinggal di Malaysia.

“Saya hanya bermula dengan melatih pasukan Wilayah Jawa Barat. Kemudian barulah menerima tawaran lebih baik dan sehingga kini menggalas tugas Pengarah Teknikal. Walaupun memegang jawatan itu, saya masih turun padang memberi tunjuk ajar kepada pasukan hoki padang dan hoki dalam dewan.

“Kemuncak kejayaan saya di Indonesia adalah apabila pasukan hoki dalam dewan memenangi pingat emas di Sukan Sea menewaskan Malaysia pada 2023. Kejayaan itu memberi impak yang cukup besar dan pemain juga menerima pelbagai insentif.

“Bagi saya, mentaliti di Indonesia ialah kalau mereka percaya dan yakin dengan satu-satu jurulatih asing itu, mereka akan memberi penghormatan yang tinggi. Apabila hasil kerja kita dihargai, sudah pasti saya rasa selesa untuk bekerja lebih lama di sana. Saya juga sudah dapat jalinkan hubungan yang baik dengan ‘orang-orang’ hoki di sana,” katanya ketika dihubungi.

Selain dihargai, Dharma juga tidak menolak gaji yang agak lumayan menyebabkannya sanggup kekal berkelana di Indonesia berbanding pulang ke tanah air, namun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar gaji yang diterimanya.

“Sudah tentu gaji saya lebih baik berbanding semasa saya menjadi jurulatih di Malaysia. Di Indonesia juga bonus yang diberikan sangat besar seperti ketika pasukan hoki Indonesia memenangi pingat emas (di Sukan Sea 2023),” katanya.

Dharma mempunyai resume yang bukan calang-calang dan boleh dianggap antara jurulatih Malaysia yang paling berjaya.

Beliau pernah membimbing pasukan hoki remaja lelaki negara atau lebih dikenali sebagai Skuad Projek 2013 memenangi edisi pertama kejohanan jemputan antarabangsa Piala Sultan Johor pada 2011 sebelum melakar sejarah membantu skuad negara muncul juara Piala Remaja Asia di Melaka pada tahun 2012.

Setahun selepas itu, Skuad Projek 2013 yang dibentuk untuk menghadapi Piala Dunia Remaja 2013 di India, menamatkan saingan berprestij itu di tempat keempat.

Dharma juga pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad senior dan antara kejayaan dikecapi adalah membawa Malaysia melangkah ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah 2014, namun tewas kepada gergasi dunia, Australia.

Dharma kemudian mengangkat martabat skuad hoki wanita negara ke satu tahap lebih baik selain membantu skuad hoki dalam dewan wanita memenangi pingat emas di Sukan Sea 2019 dekat Filipina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top