Di hari Jumaat yang mulia, Red Giants harap Faisal dapat keadilan

Di hari Jumaat yang mulia, Red Giants harap Faisal dapat keadilan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Red Giants berharap dan berdoa agar pemain sensasi, Faisal Halim mendapat keadilan sewajarnya selepas kes simbahan asid yang menggemparkan negara pada Mei tahun lalu diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Harapan menggunung itu diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap pihak berkuasa walaupun siasatan kes tersebut ‘dihentikan’ susulan NFA.

Kata Johan, pihak pengurusan mahu terus memberikan sokongan kepada pemain sayap berusia 27 tahun itu untuk meneruskan karier dalam dunia bola sepak.

“Kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut mengenai isu ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi pihak kelab, kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada Faisal.

“Kami turut berharap beliau akan mendapat keadilan sewajarnya, InsyaAllah. Kami juga sentiasa mendoakan agar Faisal kembali kepada prestasi terbaik demi kepentingan kelab dan skuad kebangsaan,” katanya.

Walaupun persoalan siapa pelaku sebenar masih belum terjawab, kesetiaan dan solidariti Selangor FC terhadap Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey terus utuh di mana ramai peminat berdiri di belakangnya.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, peguam bela yang mewakili Faisal memaklumkan kes berkenaan sudah diklasifikasi sebagai NFA dan situasi itu nyata mengecewakan pemain kebangsaan itu.

Menurut peguam, Mohd Haijan Omar, kes simbahan asid yang menimpa Faisal pada 5 Mei 2024 lalu kini terpaksa dihentikan selepas pihak polis gagal menemui sebarang petunjuk mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek utama.

Jelas Haijan, keputusan Jabatan Peguam Negara meletakkan kes itu dalam kategori NFA tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya akan terus mendesak agar kes berkenaan dibuka semula.

Untuk rekod, Faisal diserang oleh dua individu tidak dikenali di tempat letak kereta di sebuah pusat membeli belah di Damansara.

Dalam kejadian itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengalami kecederaan serius yang hampir meragut nyawanya, dan terpaksa menjalani empat kali pembedahan ekoran simbahan asid berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top