am@hmetro.com.my
Taiping: “Di mana ada kereta, mungkin di situlah rezeki kami sekeluarga,” kata Orang Kurang Upaya (OKU), Ahmad Fairul Azwan Che Abdullah, 41, yang mengambil upah mencuci kereta.
Dia yang cacat akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu berkata, dia hanya berbekalkan baldi kosong dan sehelai kain untuk mendapatkan sedikit wang dengan cara mencuci kereta.
“Pergerakan saya terbatas kerana perlu menggunakan tongkat, saya terpaksa meraih simpati orang bagi mendapatkan sedikit wang.
“Walaupun belum diketahui upah yang bakal diterima, saya tetap mencuci kereta biarpun dibayar RM3,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (PKMM) bersama KPJ Taiping Medical Centre.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Taiping Medical Centre (TMC) Nurhazni Khir Jauhari.
Ahmad Fairul Azwan berkata, wang itu digunakannya untuk menampung kehidupan bersama isteri dan tiga anak yang masih kecil di sebuah bilik sewa kecil di Taiping.
Menurutnya, dia hanya mampu berkerja sedemikian kerana tidak diterima oleh majikan lain kerana kakinya patah akibat kemalangan jalan raya ketika berkerja sebagai pemandu lori gas.
“Sejak kemalangan itu saya cacat dan hilang kerjaya kerana terlantar beberapa bulan.
“Akibat tiada punca pendapatan lain, kami terpaksa berpindah randah dari Kuala Kurau, Perak hinggalah ke Kulim, Kedah dan kini hanya menyewa di sebuah bilik kecil dengan harga RM300 sebulan,” katanya.
Dia berkata, pelbagai pekerjaan dibuat namun gagal dan kini terpaksa bergantung harap pada pendapatan membasuh kereta yang tidak menentu bergantung pada pemberian individu.
“Sekali cuci dapatlah antara RM3 hingga RM20 sebuah kereta, kadangkala orang tak bagi.
“Pernah beberapa kali saya dihalau dan bergaduh dengan penjaga parkir kerana masuk ke dalam kawasan jagaannya, namun saya terpaksa reda kerana fizikal diri.
“Tak semua orang suka apa yang kita buat dan tak semua orang suka lihat saya dan anak menyentuh kereta mereka,” katanya.
Selain itu, Ahmad Fairul Azwan juga menjaga isterinya Aini Shahira Ahmad, 41, yang lembam selain menjaga tiga anak yang masih kecil berusia antara tiga hingga lapan tahun.
Menurutnya, kesusahan hidup tidak menghalang dia untuk menyekolahkan dua anaknya.
“Sebelum ini memang saya hantar anak ke sekolah hanya berjalan sejauh lebih lima kilometer, namun melihat keadaan diri yang susah dan tidak sempurna, seorang hamba Allah memberi sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakan.
“Kadang-kadang bila motosikal rosak, saya tidak merungut dan terpaksa menghantar dua daripada mereka dengan berjalan,” katanya.
Sementara itu, Aini Shahira berkata, mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan namun tidak mencukupi.
“Saya ambil upah lipat kain baju dengan pendapatan antara RM15 hingga RM30 satu jam.
“Niat hanya satu iaitu nak bantu suami selain berhasrat pulang ke kampung halaman di Bagan Serai pada raya nanti sebab nak ziarah kubur ayah,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami amat memerlukan sebuah penempatan baru untuk keselesaan anak mereka selain pekerjaan tetap untuk suami.
© New Straits Times Press (M) Bhd



