Di mana lagi kalau tidak di JDT?

Di mana lagi kalau tidak di JDT?

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: “Di mana lagi pemain terbaik kalau bukan di Johor Darul Ta’zim (JDT)?”

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Ab Karim menegaskan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan yang wajar dengan memanggil majoriti pemain daripada pasukan Harimau Selatan ke skuad kebangsaan.

Malah, Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut melihat skuad kebangsaan diperkuat sebahagian besar pemain JDT memandangkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu memiliki ramai pemain kebangsaan bersama mereka.

“Saya berpendapat barisan kejurulatihan pasti sudah meneliti sehabis mungkin mengenai perkara ini di mana pemain terbaik harus dipilih dan secara kebetulan, semua pemain terbaik yang ada ketika ini menyarung jersi JDT.

“Dengan majoriti pemain dari JDT, saya rasa masalah keserasian tidak akan timbul dan pemain JDT juga mendapat lebih pendedahan berbanding pemain lain kerana mereka beraksi di Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Kita pun tahu persiapan mereka terjejas kerana COVID-19 serta kekurangan masa untuk menguji pemain, jadi sudah tentu Cheng Hoe berpendapat pemain yang dipilih ini benar-benar sesuai dengan kehendak dan perancangannya.

“Apapun, skuad Harimau Malaya jangan berputus asa kerana peluang masih ada. Ada dua lagi perlawanan untuk mereka menebus maruah negara dan kita perlu terus memberi sokongan kepada mereka di Dubai,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau sebenarnya tidak bersetuju apabila sebahagian besar pemain skuad Harimau Selatan dipanggil menyertai pasukan kebangsaan.

Pendedahan itu dibuat Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sesi soal jawab menerusi akaun Instagram miliknya, kelmarin.

Beliau turut menjelaskan tidak mengetahui mengapa terlalu ramai pemain JDT dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya dan meminta persoalan itu diajukan kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top