Di mana suamiku, Mohd Saifulnizam?

Di mana suamiku, Mohd Saifulnizam?

@rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bimbang terjadi apa-apa, dia tidak pernah begini (tidak pulang ke rumah),” kata Nurhairani Zainuddin, 41, mengenai suaminya yang dikhuatiri hilang sejak dua hari lalu.

Mohd Saifulnizam Ismail, 41, dikatakan keluar dari rumah di Bukit Jalil di sini, dengan menunggang motosikal jenis QJM Fort 350 untuk ke rumah ibunya di Meru, Selangor, kira-kira 10 pagi.

Menurut Nurhairani, pada hari itu suaminya baru sahaja pulang ke rumah selepas menyertai aktiviti memancing bersama rakan di Langkawi, Kedah selama lima hari.

“Selepas mandi, dia (suami) sempat bermain dengan anak-anak sebelum memberitahu mahu keluar ke rumah mentua untuk menghantar ikan. Pada masa sama, saya keluar ke tempat kerja.

“Sehingga malam suami tidak pulang ke rumah. Telefon bimbitnya pula ditinggalkan di rumah menyebabkan saya tidak dapat menjejaki sistem kedudukan global (GPS) motosikalnya. Saya hubungi ibu mentua dan dimaklumkan suami sudah pulang selepas singgah menghantar ikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia berusaha mencari suami termasuk menghubungi rakan lelaki itu meminta bantuan namun sehingga kini suaminya gagal dikesan.

Katanya, suami tidak menunjukkan sebarang perubahan malah tiada perselisihan faham antara mereka.

“Selama ini memang kami sentiasa berdua kerana menguruskan perniagaan bersama dan ke mana saja dia pergi memang akan beritahu saya.

“Ini membuatkan saya bertambah risau. Anak-anak juga sudah rindu dan mula bertanya mana ayah kerana dia sangat rapat dengan anak-anak,” katanya.

Nurhairani yang bimbang keselamatan suaminya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suaminya itu supaya menyalurkan dengan menghubunginya di talian 017-2413056.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top