Di sebalik gaya ringkas Sheinbaum

Di sebalik gaya ringkas Sheinbaum

mahaizura@mediaprima.com.my

Bukan sekadar gaya, malah pemilihan busana Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, umpama menjadi medium menyampaikan mesej politik dalam memartabatkan hak wanita dan masyarakat Orang Asli.

Sebagai presiden wanita pertama negara itu, pemimpin berhaluan kiri berusia 63 tahun berkenaan secara terbuka memilih untuk menyokong tukang jahit dan pengusaha kecil tempatan sambil menjauhi jenama mewah yang disifatkannya sebagai ‘terlalu mahal’.

Sheinbaum menegaskan, sokongannya kepada penenun dan penyulam tradisional, khususnya wanita yang menggunakan alat tenun sandang, menjadi satu kebanggaan negara.

“Saya menyokong penenun, penyulam serta semua yang menggunakan alat tenun sandang di negara kita. Mereka adalah sumber kebanggaan nasional,” katanya seperti dipetik dalam AFP.

Pendirian itu selari dengan langkah Kerajaan Mexico yang sebelum ini mengambil tindakan terhadap beberapa jenama terkenal atas dakwaan mengambil rekaan tradisional tanpa pengiktirafan budaya.

Pendekatan itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Sheinbaum disenaraikan sebagai 67 individu paling bergaya tahun 2025 oleh ‘The New York Times’, satu-satunya tokoh politik dalam kumpulan berkenaan.

Antara individu penting di sebalik penampilannya ialah Olivia Trujillo, pemilik bengkel jahitan kecil yang beroperasi dari rumahnya di San Pedro Martir, pinggir Mexico City.

Trujillo baru-baru ini dipanggil ke Istana Negara untuk sesi akhir pemasangan gaun ungu bersulam halus yang dipakai Sheinbaum ketika pertemuan sulungnya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney di Washington pada Disember lalu.

“Warna kegemarannya ialah ungu dan burgundy,” kata Trujillo sambil menunjukkan mesin jahit dan patung peragawati yang digunakan untuk menyiapkan busana presiden.

Satu lagi busana ikonik ialah gaun yang dipakai Sheinbaum ketika upacara angkat sumpah pada Oktober 2024, rekaan paras lutut berwarna gading dengan sulaman bunga liar di satu sisi manakala bahagian atas dibiarkan polos bagi menyerlahkan selempang presiden.

Sulaman bunga pula, dijahit tangan Claudia Vazquez, wanita Orang Asli Zapotec berusia 43 tahun dengan penuh ketelitian.

Vazquez, yang pernah hampir membuat keputusan meninggalkan dunia sulaman berkata, minat Sheinbaum terhadap karyanya mengubah kehidupannya.

Kini, dia masih meneruskan seni itu di Oaxaca, selatan Mexico.

Di tengah Mexico pula, seorang lagi penyulam, Virginia Arce, 48, dari San Isidro Buen Progreso, diberi tanggungjawab menghias gaun rasmi yang dipakai Sheinbaum pada September lalu ketika menjadi wanita pertama menyampaikan La Grito de Independencia, seruan kemerdekaan yang diraikan setiap tahun.

“Presiden memilih tona warna dan seekor burung yang sangat digemarinya, burung layang-layang. Saya mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan sulaman itu.

“Melihat hasil kerja saya dipakai ketua negara di balkoni istana presiden menjadi detik paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu, perunding imej Mexico, Gabriela Medina berkata, dalam pemilihan busananya sendiri, Sheinbaum memilih untuk memberi kredit kepada pembuat asal serta mengangkat golongan yang sering terpinggir dalam industri fesyen.

“Ideologinya sentiasa tertumpu kepada hak rakyat dan kesaksamaan termasuk dalam gaya pakaiannya,” katanya.

Katanya, warna unggu yang menjadi kegemaran Sheinbaum melambangkan kuasa, autoriti, kemewahan, kerohanian dan ketenangan.

Namun, penganalisis jantina, Laura Raquel Manzo mengingatkan, bahaya melabel atau menilai wanita berdasarkan pakaian, sesuatu yang jarang dikenakan terhadap pemimpin lelaki.

Dalam kes Sheinbaum, katanya, mengabaikan pemilihan busana yang dibuat secara sedar adalah sama dengan menafikan realiti bahawa imej turut membentuk autoriti kepimpinan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top