syafil.syazwan@hmetro.com.my
DI sebalik kehidupan sebagai warga asing yang menetap dan bekerja di Malaysia, ada pelbagai kisah hitam yang mungkin tidak diketahui umum.
Kisah itu kini diterjemah ke dalam bentuk drama bersiri, Jarum Halus arahan pengarah Ng Ken Kin hasil tulisan skrip oleh penulis, Ken Kin.
Ken ketika ditemui di set penggambaran Jarum Halus baru-baru ini berkata, pengalaman peribadinya menjadi antara rujukan utama sebelum dia menulis naskhah ini.
“Cerita ini mengenai penculikan seorang gadis. Rujukan saya bermula sejak zaman sekolah menengah. Saya ada seorang kawan, seorang pembantu rumah.
“Dia juga menjual mi di tepi jalan. Saya sangat rapat dengan dia. Dia pernah bercerita mengenai asal usul keluarganya dan banyak lagi.
“Apabila saya sudah dewasa, saya cuba mencari dia semula. Tapi dia sudah hilang. Saya hubungi majikannya, dan dari situlah segala rahsia terbongkar.
“Rupa-rupanya, dia tidak sebaik yang saya sangka. Dia sebenarnya melarikan diri bersama wang dan ada sindiket di sebalik semua itu, membabitkan beberapa individu,” katanya.
Kent yang mengambil masa setahun untuk mengembangkan isu itu bagaimanapun menegaskan bahawa Jarum Halus bukanlah karya yang bertujuan untuk memberi persepsi buruk terhadap warga asing.
“Namun, saya bukan mahu memburukkan warga Indonesia atau sesiapa pun. Kadangkala, ia berpunca daripada masalah individu. Dari pengalaman inilah saya dapat idea.
“Saya juga memang suka bergaul dengan warga asing, sebab saya selalu tertanya-tanya, bagaimana mereka boleh datang ke Malaysia?
“Saya pernah ke Plaza Pudu dan di satu bangunan itu dipenuhi warga asing. Mereka banyak berkongsi kisah hidup yang menarik. Ia sangat relevan untuk dijadikan bahan cerita dalam drama,” katanya.
Pelakon, Alif Hadi yang membawa watak Figo pula berkata, cabaran terbesarnya adalah untuk melontarkan dialog dalam Bahasa Indonesia.
“Saya memegang watak sebagai warga Indonesia dan ini adalah kali pertama buat saya. Sejujurnya, saya agak gementar. Ada tiga pelakon dalam drama ini yang membawa watak sebagai orang Indonesia.
“Ketika menerima skrip, saya perasan ada banyak dialog dalam Bahasa Indonesia. Pengarah pula mahu kami melontarkan dialog itu dengan semula jadi, tidak nampak dibuat-buat,” katanya.
Solusinya, Alif banyak meluangkan masa untuk mengkaji dialog daripada karya-karya tanah seberang itu.
“Saya banyak menonton filem dan drama Indonesia sebagai persediaan. Kami juga menjalani penggambaran di Jogjakarta.
“Kru di sana pun tidak banyak mengubah dialog kami, dan semasa ‘rehearsal’ (latihan), kami akan rujuk mereka untuk sebutan yang betul,” katanya.
Bagi seorang lagi pelakon, Mathni Razak berkata, cabaran utamanya adalah kerana ini menjadi watak antagonis terberat yang pernah diterajuinya.
“Saya membawa watak Soni, seorang yang narsistik (puja atau kagumi diri sendiri), berpunca daripada isu kekeluargaan dan kurang mendapat perhatian.
“Dia seorang yang pentingkan diri dan hanya melakukan perkara yang menguntungkan dirinya. Jika tidak, dia akan mengkhianati orang di sekelilingnya termasuk kekasihnya sendiri.
“Jarang saya diberikan watak antagonis. Kalau ada pun, sebelum ini lebih kepada antagonis ringan. Tapi kali ini, wataknya lebih berat.
“Mula-mula memang sukar sedikit untuk melakonkan watak ini sebab ada kekeliruan mengenai skrip. Hanya ketika berada di set, barulah saya benar-benar faham dan perlu menukar karakter secara serta-merta pada hari penggambaran.
“Saya terus rujuk kepada pengarah dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Penulis skrip pun kemudian memberi taklimat lanjut,” katanya.
Lia Natalia yang membawa watak wanita Indonesia bernama Dewi pula berkongsi pengalaman bekerja di bawah arahan Ken sangat berharga.
“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan pengarah, Abang Kent. Malah, ramai dalam pasukan produksi ini pun pertama kali bekerja bersama.
“Semasa sesi bacaan skrip, saya agak risau sebab pengarah sangat diam. Saya fikir, ‘alamak, susah juga nak ambil hati dia ni.’
“Tapi bila di set, dia sangat profesional, sangat mudah untuk bekerjasama dan tahu apa yang dia mahu. Kerja pun cepat. Itu yang saya suka,” katanya.
Wakil RTM yang turut hadir di set penggambaran menggambarkan kehadiran naskhah ini mampu menarik minat penonton dalam kalangan Gen Z.
Jarum Halus mengisahkan mengenai Datin Zainab lakonan Emelda Rosmila, yang juga seorang usahawan wanita ternama dan bakal bertanding sebagai Datuk Bandar bersama parti mereka iaitu Parti Kebangsaan Sejaga (PKS).
Kehidupan keluarganya hancur akibat penculikan anak tirinya, Nurul (Shasha Abedul). Konflik bermula apabila Nurul diculik oleh Sonny (Mathni Razak) dan Rizal (Hazeeq Dean), dua lelaki yang terbabit dalam dunia gelap.
Namun, penculikan ini ternyata hanyalah puncak gunung dari muslihat yang lebih besar membabitkan dendam, pengkhianatan dan persaingan politik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




