Naskhah Rumah Menanti Cahaya berjaya mencuri perhatian penonton bukan sahaja melalui jalan ceritanya yang sarat emosi dan penuh kejutan, malah menerusi visual yang tampak realistik seolah-olah dirakam di lokasi sebenar.
Namun, di sebalik paparan meyakinkan itu, ramai mungkin tidak menyangka bahawa hampir keseluruhan babak drama ini sebenarnya dirakam sepenuhnya di dalam studio.
Pendekatan tersebut menjadi antara kekuatan utama produksi Rumah Menanti Cahaya, apabila pasukan produksi berjaya menghidupkan suasana rumah dan hospital dengan perincian yang teliti dan kemas.
Daripada ruang kediaman yang tampak selesa sehinggalah ke persekitaran hospital yang sibuk, setiap set dibina dengan penuh ketelitian bagi meniru suasana sebenar.
Bagi babak rumah, ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur direka dengan susun atur perabot serta hiasan dalaman yang tampak natural.
Perincian kecil seperti kedudukan meja makan, hiasan dinding dan bantal di sofa turut diberi perhatian bagi memastikan setiap babak kelihatan hidup dan meyakinkan di layar kaca.

Sementara itu, set hospital pula dibina lengkap dengan katil pesakit, peralatan perubatan serta ruang menunggu, menjadikan suasana babak rawatan dan emosi kelihatan autentik tanpa perlu menjalani penggambaran di hospital sebenar.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu kelancaran produksi, malah memberi kawalan penuh terhadap visual dan emosi yang ingin disampaikan dalam setiap babak.
Gabungan kekuatan visual ini disokong pula oleh barisan pelakon berbakat dari dua negara yang berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan penuh penghayatan.
Antaranya ialah Daiyan Trisha, Zarif Ghazzi, Mathias Muchus, Diego Afisyah, M Aditya Zoni, Djihan Ranti, Shanice Margaretha Lie dan Eldania Zahra. Keserasian pelakon serta kepelbagaian latar belakang mereka memberi dimensi tersendiri kepada drama ini.
Tidak hanya bergantung kepada kekuatan lakonan, Rumah Menanti Cahaya turut menampilkan jalan cerita yang menyentuh isu keluarga, kasih sayang dan pengorbanan, disulami twist yang tidak dijangka.
Pendekatan visual yang diinspirasikan daripada gaya sinetron Indonesia menjadikan drama ini tampil berbeza dan segar berbanding naskhah tempatan lain.
Secara keseluruhan, Rumah Menanti Cahaya membuktikan bahawa penggunaan studio secara kreatif mampu menghasilkan sebuah drama yang bukan sahaja meyakinkan dari segi visual, malah meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada penonton.
Ia sekali gus menjadikan drama ini pilihan tepat buat peminat naskhah keluarga yang mendambakan pengalaman tontonan yang lebih dramatik dan berbeza.
Rumah Menanti Cahaya kini boleh ditonton menerusi platform Tonton di https://browse.tonton.com.my/movie/rumah-menanti-cahaya



