najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Dia sudah lama hilang daripada ‘radar’, jadi saya nak dia buat kemunculan semula.”
Demikian kata pelakon dan penerbit Fauziah Ahmad Daud mengenai pemilihan pelakon filem Paloh, Gibran Agi yang terbabit dalam pementasan teater terbitannya, Di Sebalik Topeng.
Fauziah atau mesra disapa Ogy berkata, selepas namanya dicadangkan oleh seorang krew produksi dia akhirnya bersetuju untuk menawarkan aktor itu berlakon di pentas teater.
“Ada beberapa aktor yang tidak perlu saya namakan sepatutnya memegang watak ini, namun mereka tidak dapat menerima tawaran terbabit atas kekangan masa dan komitmen seni.
“Jadi ada yang bertanyakan kepada saya, sama ada saya mengenali pelakon bernama Gibran Agi atau tidak. Saya cakap sudah tentu saya kenal dan pernah menonton lakonannya sebelum ini.
“Saya terus hubungi dan bagi saya dia seorang aktor yang bijak kerana untuk memainkan watak kaunselor bukan tanggungjawab mudah.
“Dia juga mempunyai ‘rasa’ dalam lakonan. Kalau ‘ bijak’ tanpa ada ‘rasa’ pun tak boleh,” katanya.
Menurut Ogy, dia bersyukur apabila pelakon itu sudi untuk bekerjasama untuk pementasan teater berkenaan.
“Dia terperanjat apabila saya menawarkan watak itu. Kita memerlukan aktor sepertinya dalam dunia seni ini.
“Jadi apabila skrip sudah disiapkan dan saya berikan kepadanya, dia terus setuju. Watak itu memang mencabar. Sesuatu akan berlaku yang tidak akan dijangka di dalam penceritaan teater ini,” katanya.
Teater Di Sebalik Topeng bakal dipentaskan pada 19 dan 20 Okterber ini jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP, Kluala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




