Sapransaifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya yakin dia akan menjadi juara.”
Demikian kata-kata semangat juara dunia ONE Featherweight Kickboxing, Superbon Singha Mawynn kepada sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, yang tewas dalam aksi sengit ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Johan yang beraksi dalam kategori flyweight Muay Thai terpaksa akur tewas menerusi keputusan split decision selepas pertarungan tiga pusingan menentang petarung Colombia-Amerika, Diego Paez.
Superbon atau pemilik nama sebenar, Suppachai Muensang berkata, karier Johan masih panjang dan petarung berusia 18 tahun itu mempunyai masa untuk menjadi yang terbaik.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo menjalani latihan secara rapi di gim milik Superbon di Bangkok sebelum bertarung dengan Paez.
“Jojo baru berusia 18 tahun. Dia masih mempunyai banyak masa untuk menjadi yang terbaik serta untuk menjadi juara. Saya yakin dia akan menjadi juara kerana cara berfikirnya sangat bagus.
“Jojo, dengar sini, kalau kamu kalah, itu bukan satu masalah. (Contohnya) saya sendiri mungkin sudah bertarung kira-kira 300 kali, dan saya pernah kalah hampir 100 kali.
“Tapi saya tetap akan menjadi juara. Jika kamu terus berusaha dan tidak pernah berputus asa, kamu pasti akan menjadi juara. Kalah dan menang hanyalah sebahagian daripada proses,” katanya seperti dikongsikan di media sosial ONE Championship.
Pada aksi semalam, Johan dilihat cukup dahagakan kemenangan dengan menyerang tanpa henti sementara Paez pula lebih memilih untuk bertahan dan menunggu masa sesuai bagi melepaskan pukulan.
Meskipun lawannya berusia lebih 13 tahun daripadanya, namun dalam perlawanan itu jelas Johan lebih menguasai pertarungan, tetapi pengalaman yang dimiliki Paez menjadi kunci utama kepada kemenangannya.
Ini adalah kekalahan kedua buat Johan pada tahun ini selepas menerima keputusan yang sama ketika tewas kepada jaguh Colombia, Johan Estupinan, Januari lalu.
Johan kini meraih enam kemenangan daripada sembilan pertarungan sejak menyertai organisasi ONE Championship.
© New Straits Times Press (M) Bhd