'Dia hubungi saya minta doa supaya selamat' – Bapa mangsa helikopter terhempas

'Dia hubungi saya minta doa supaya selamat' – Bapa mangsa helikopter terhempas

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Sebelum anak berlepas terbang menaiki helikopter, dia ada hubungi saya minta doa supaya selamat semuanya,” kata Baharom Mohammed, 82.

Baharom adalah bapa kepada Superintendan Ahmad Bustamin Baharom, 46, yang terbabit nahas bersama empat kru helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini, pagi semalam.

Katanya, tidak lama kemudian dia mendapat panggilan daripada pihak berkuasa memaklumkan anaknya terbabit dalam nahas helikopter.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada anak memaklumkan dia mahu naik helikopter dan minta doakan dia selamat sebelum berlepas.

“Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan telefon pula menyatakan helikopter dinaiki anak terhempas. Terkejut tetapi Alhamdulillah anak selamat dan sekarang ditempatkan di wad biasa untuk rawatan.

“Anak mengalami kecederaan patah tulang termasuk tulang rusuk, bengkak di bahagian muka dan kaki kebas tetapi boleh bercakap dan bercerita,” katanya ketika ditemui selepas melawat anaknya di perkarangan lobi utama Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Baharom yang juga pesara pengetua sekolah berkata, anaknya menjadi individu pertama dapat keluar daripada bangkai helikopter yang terhempas ke dalam air dan diselamatkan pasukan penyelamat.

Katanya, semasa kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu memaklumkan memakai topi keledar keselamatan.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur kerana sebelum ini Ahmad Bustamin pernah mengambil latihan berkaitan insiden semalam, anak sudah keluar dulu dari bangkai helikopter dalam keadaan sedar dan kemudian diselamatkan.

“Saya dan isteri, Che Ma Abu Bakar, 75, termasuk isteri Ahmad Bustamin bergerak dari Alor Setar, Kedah jam 10 malam tadi dan sampai jam 8 pagi. Ahmad Bustamin mempunyai empat anak berusia antara 9 hingga 16 tahun.

“Kebetulan anak sulung Ahmad Bustamin yang belajar di Alor Setar berada di Johor kerana mengikuti program sekolah, jadi dapat jumpa dengan bapa,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, dua daripada lima kru helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, dilaporkan kritikal.

Dalam insiden itu, helikopter AS355N milik PDRM dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah, ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan MITSATOM 2025, yang membabitkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu membabitkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top