am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Seakan tahu dirinya akan pergi meninggalkan ibu tersayang, remaja perempuan yang maut kemalangan selepas merempuh belakang lori di Jalan Mayang Rotan, di sini, berkali-kali keluar masuk rumah ketika kali terakhir mereka berjumpa semalam.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, Nuriqleema Fitryana Mohd Noor, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Ibu Allahyarham, Siti Norsiah Sabran, 48, berkata beliau hairan dengan tingkah laku anak bongsu dari empat beradik itu yang seakan-akan mencari sesuatu.
“Sebelum itu, kakak saya dari Pulau Pinang datang ziarah ke rumah kami. Tidak lama kemudian, arwah keluar untuk pergi ke kelas tambahan.
“Masa dia nak keluar, saya tanya tak nak salam (ahli keluarga) ke? Dia kemudian keluar dan masuk rumah berkali-kali seperti mencari sesuatu.
“Saya tanya lagi apa lagi yang dicari? Arwah hanya senyum dan tak berkata apa-apa sebelum mengambil botol untuk mengisi air dan terus keluar,” katanya ketika ditemui pada lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh di rumahnya di Kampung Parit Serong di sini, hari ini.
Terdahulu, Nurul Syazwani meluangkan masa selama sejam di kediaman Siti Norsiah termasuk bertanya khabar keluarga itu.
Siti Norsiah yang bekerja sebagai kerani bahagian logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor berkata, sebelum kejadian Allahyarham menghadiri kelas tambahan di sekolahnya dan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal milik rakannya untuk mengambil buku yang tertinggal.
“Masa arwah balik, saya tiada kerana dalam perjalanan ziarah ke rumah abang di Paya Jaras, Sungai Buloh. Kebetulan hanya suami dan anak sulung ada di rumah.
“Tidak sampai lima minit nak sampai rumah abang, saya dapat panggilan mengatakan arwah terbabit kemalangan dan meninggal dunia. Tanpa berlengah, saya berpatah balik dan terus ke hospital,” katanya.
Siti Norsiah berkata, Allahyarham bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-17 September depan dan berhasrat untuk menjaganya sepanjang di Institut Jantung Negara (IJN).
“Saya akan menjalani pembedahan menggantikan injap jantung yang bocor pada 29 September ini. Arwah berjanji nak jaga saya sepanjang di sana tetapi tak sangka dia pergi dulu.
“Arwah anak yang periang dan dia banyak membantu saya. Besar dugaan ini untuk kami sekeluarga terima namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Serong kira-kira jam 5.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 48 tahun dari arah Jalan Raja Musa menghala ke Jalan Mayang Rotan.
Setibanya di lokasi katanya, ketika pemandu sedang membelok masuk ke simpang kanan datang motosikal dari arah sama dan tidak sempat mengelak.
“Mangsa melanggar bahagian tayar belakang kanan lori terbabit,” katanya.
Azaharudin berkata, impak pelanggaran mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
