am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Apa yang disangka Zainun Abdullah pada awalnya sebagai bunyi tayar kereta meletup menjadi detik yang mengubah hidupnya apabila melihat anaknya, Mohd Sharul Nizam Rahim, 31, mengalami kecederaan parah.
Wanita berusia 60 tahun itu sedang berada di dapur menyediakan makanan apabila terdengar bunyi letupan kuat dari sebuah bengkel kereta yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Air Merbo, di sini, petang semalam.
“Saya sedang memasak di dapur apabila terdengar bunyi letupan kuat. Saya sangka tayar yang meletup.
“Apabila saya berlari keluar, saya nampak anak terbaring di atas tanah dengan kedua-dua kakinya cedera parah. Masa itu dia masih sedar.
“Saya mengajarnya mengucap syahadah dan dia mengikutinya. Selepas itu, dia senyap,” katanya sambil menahan sebak.
Zainun segera memanggil jiran untuk mendapatkan bantuan sebelum anaknya dikejarkan ke Hospital Tanah Merah.
“Dialah tulang belakang kami. Kami hanya mampu berdoa agar dia terus hidup,” kata Zainun dengan suara perlahan.
Mohd Sharul Nizam, anak keenam daripada lapan beradik, mengusahakan bengkel berkenaan di sebelah rumah keluarga mereka sejak lapan tahun lalu bagi menyara isteri dan tiga anaknya.
Kakaknya, suri rumah Zainawati, 37, berkata doktor memaklumkan kepada keluarga bahawa keadaan adiknya itu kritikal.
“Mereka kata salah satu kakinya perlu dipotong. Jangkitan sudah merebak ke jantung.
“Dia diletakkan di bawah sedasi semalam. Hari ini, doktor sedang membuat persediaan untuk memotong kakinya,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Keluarga kini hanya mampu berharap dan berdoa sambil menunggu perkembangan lanjut daripada pasukan perubatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah hari ini berkata polis percaya letupan yang mencederakan parah seorang lelaki di bengkel di Kampung Air Merbo itu berpunca daripada kebocoran sistem gas penyaman udara.
Berita berkaitan:
Mekanik putus kaki berpunca gas penyaman udara kereta meletup
Mekanik putus kaki kereta dibaiki meletup
© New Straits Times Press (M) Bhd




