redzuan.muharam@hmetro.com.my
Subang Jaya: “Memang pernah ada orang tanya saya macam mana nak kahwin dengan suami dengan keadaannya begitu dan tak ada calon lelaki lain ke untuk dijadikan pasangan.
“Ramai juga perempuan lain menolaknya tapi saya terima kerana nampak kesungguhannya dan ternyata, dia lelaki terbaik pernah hadir dalam hidup saya.”
Itu kata Nurul Hazwani Ab Rahim, 41, ketika menceritakan kisahnya berkahwin dengan Mahathir Mohd Nor, 44, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak berusia 18 tahun akibat kecederaan serius selepas dirompak pada 1998 ketika pulang kerja yang menyebabkannya lumpuh separuh badan sebelah kanan.
Empat tahun lalu, Mahathir sekali lagi diserang angin ahmar kali kedua hingga pertuturannya kurang jelas dan pergerakan badan sebelah kirinya melemah dikenali sebagai penyakit CVA With Left Sided Hemiparesis, U/L TBI With Sided Hemiparesis yang bersifat kekal.
Akibatnya, Mahathir yang pernah bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat terpaksa bersara awal sebagai penjawat awam akibat masalah kesihatan.
Bercerita lanjut, Nurul Hazwani yang bekerja sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, USJ 2, di sini berkata, dia dan suaminya berkenalan selepas dihubungi lelaki itu yang mendapat nombor telefon daripada adiknya.
“Adik belajar satu kampus dengan suami di Universiti Selangor (Unisel) jadi dia yang beri nombor telefon saya kepada suami.
“Kami berhubung selama seminggu melalui telefon kemudian suami ajak jumpa di kampus dan waktu itu emak teman saya.
“Suami memang kacak namun emak yang lebih berkenan dengannya dan bersungguh untuk satukan saya dan suami jadi saya ikut kehendaknya selepas dipujuk.
“Sebulan kemudian, kami bertunang dan awalnya perasaan saya biasa saja namun mula jatuh cinta dengannya selepas dua tahun pertunangan kerana nampak dia bersungguh,” katanya ketika ditemui Harian Metro di USJ 2, dekat sini.
Meskipun Mahathir berstatus OKU, Nurul Hazwani lega kerana suaminya boleh menguruskan diri sendiri di rumah ketika dia keluar bekerja.
Menurut Nurul Hazwani, dia juga bersyukur kerana perkahwinan mereka dikurniakan tiga zuriat berumur tiga, 10 dan 15 tahun walaupun diuji dengan bermacam dugaan.
“Fasa sulit memang ada iaitu tiga tahun lalu ketika suami diserang angin ahmar kali kedua kerana waktu itu saya hamil enam bulan dan pada masa saya kena kerja dan uruskan suami.
“Alhamdulillah, ujian itu tak lama dan tak berasa nak merungut pun kerana waktu ambil keputusan nak berkahwin dulu sudah boleh agak apa kemungkinan akan berlaku jadi lebih bersedia.
“Syukur juga kerana keluarga, rakan dan orang terdekat banyak bantu malah anak terutama yang sulung pun faham keadaan bapanya.
“Jadi, tak ada lain saya harapkan melainkan dapat jaga suami sampai akhir hayat kerana banyak nikmat Allah SWT sudah beri iaitu zuriat juga rumah yang cukup untuk kami sekeluarga,” katanya yang menyimpan hasrat mengerjakan umrah ke Tanah Suci bersama suaminya.
Sementara itu, Mahathir berkata, dia pernah putus asa untuk meneruskan hidup selepas disahkan OKU namun mendapat kekuatan dengan sokongan keluarga dan insan terdekat.
Lantaran pengalaman lalu, Mahathir lebih tenang menerima ujian dan berdamai dengan takdir selepas diserang angin ahmar kali kedua empat tahun lalu.
“Walaupun OKU, saya pernah diberi peluang menjadi guru Matematik Tambahan selama empat tahun di sekolah swasta selain berkhidmat 11 tahun sebagai pegawai teknologi maklumat selain menjadi penceramah bebas di sekolah.
“Cuma, Allah SWT uji saya tapi saya bersyukur kerana ada isteri, anak dan keluarga menerima serta banyak beri sokongan.
“Jadi saya berharap dapat hidup bahagia bersama keluarga, sihat dan dipanjangkan umur supaya dapat tengok anak membesar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



