'Dia meluru masuk dapur surau, tanya siapa fitnah dia, kemudian tetak Pak Uda'

'Dia meluru masuk dapur surau, tanya siapa fitnah dia, kemudian tetak Pak Uda'

am@hmetro.com.my

Taiping: “Sewaktu kami sedang menyiapkan persiapan majlis malam ini, lelaki itu datang menaiki motosikal dalam keadaan marah-marah dan terus menetak Pak Uda.”

Demikian kata Alif Osman Yeop, 63, siak Surau Nurul Hidayah, Bukit Jana, Kamunting, di sini, yang menyaksikan rakannya, Normuda Mohd Noor, 68, yang juga bendahari surau diserang.

Menurutnya, lelaki itu dalam keadaan tidak terkawal, meluru masuk ke kawasan dapur surau sambil bertanya siapa yang memfitnahnya.

“Pak Uda yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa dan rebah selepas terkena tetakan parang.

“Saya cuba menghentikannya menggunakan bangku surau namun dia bertindak mengacukan parangnya.

“Akibat kejadian itu Pak Uda mengalami kecederaan parah di kepala dan lengan kanan sebelum penyerang melarikan diri,” katanya ditemui di Surau Nurul Hidayah, di sini, malam tadi.

Menurutnya, dia melihat lelaki itu seperti mendengar bisikan sesuatu supaya bertindak demikian.

“Lelaki itu pernah menimbulkan pelbagai masalah sebelum ini termasuk memecahkan tingkap dan merosakkan harta benda, namun insiden kali ini paling serius apabila mencederakan jemaah.

“Saya tidak menolak kemungkinan dia dalam keadaan khayal kerana selain memiliki kad pesakit jiwa, dia juga seorang penagih.

“Kami amat mengharapkan pihak berkenaan dapat menempatkan lelaki itu di luar kampung ini kerana tindakannya boleh membahayakan penduduk lain,” katanya.

Seorang lagi saksi, Faizul Sahir Jaffar, 44, berkata, mendengar kekecohan berlaku, dia segera ke lokasi dan sebaik sampai dia melihat Alif memegang kepala mangsa dalam keadaan berdarah.

“Selepas hubungi ambulans, saya tekan luka menggunakan kain untuk hentikan pendarahan.

“Difahamkan Pak Uda stabil dan kini dirawat di Hospital Taiping namun mengalami kecederaan serius.

“Saya anggarkan luka di lengan dan kepala sekitar lima hingga 10 sentimeter namun dia sedar dan boleh cerita balik apa yang berlaku,” katanya.

Sementa itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, bertindak atas laporan, polis menahan suspek jam 4.30 petang di kawasan Kamunting.

“Suspek berusia 55 tahun adalah pesakit psikiatri.

“Siasatan rekod lampau mendapati dia mempunyai 16 rekod jenayah dan narkotik. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Morphine.

“Suspek kini ditempatkan di lokap IPD Taiping manakala permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Taiping,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top