georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose mendedahkan berdepan keganasan rumah tangga sehingga mendorongnya untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga aktor, Kamal Adli.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, penderaan itu sudah berlarutan sepanjang empat tahun perkahwinan mereka termasuk ketika hamil sehingga dikurniakan cahaya mata.
“Saya cuba untuk bertahan kalau dia naik tangan, naik kaki, maki, tengking tinggi suara, kasar tolak-tolak badan. Tapi bila adanya Uqaira (anak), dia masih juga dengan perangai yang sama.
“Dalam keadaan mengandung pun dia kasari saya. Sampai bila? Daripada mengandung saya kena tolak, sarat hamil tujuh bulan pun kena kena tarik rambut dan macam-macam lagi.
“Kenapa saya minta cerai? Perempuan takkan minta cerai kalau tiada apa-apa sebab yang munasabah,” kata Uqasha ketika ditemui selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Uqasha yang ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian berkata, kerana mementingkan emosi dan kesihatan mental anaknya yang masih kecil apabila melihat ibunya ditengking, dia teruskan meminta cerai.
Dia menjelaskan keputusan untuk berdiam diri dan tidak mendedahkan kepada umum berhubung keganasan yang berlaku kerana mahu menjaga aib kedua-dua pihak memandangkan mereka adalah selebriti.
“Saya ada beritahu keluarganya yang saya dipukul. Keluarganya kata “mungkin ini cara kalian berbahagia”. Saya ada juga maklumkan kepada ibu mentua, namun dia meminta untuk saya terus bersabar.
“Kenapa saya minta cerai secara baik, tak nak selesaikan? Saya tak nak bagi tahu benda ini (pukul). Kalau ini yang kalian ingin tahu, inilah orang nak tahu, inilah dia. Saya diam, saya pendam, saya jaga (aib),” katanya.
Sementara itu, peguam Asheeq Ali Seth Alivi yang turut mewakili Uqasha memaklumkan anak guamnya sudah membuat empat laporan polis berhubung dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember lalu.
“Arahan yang sudah kami terima adalah kita teruskan untuk ambil tindakan yang sewajarnya melalui proses PDRM dan juga proses mahkamah. Daripada pihak Uqasha, empat laporan polis sudah difailkan.
“Tiga laporan difailkan oleh Uqasha dan satu oleh ibu Uqasha. Semua laporan membabitkan aduan daripada Uqasha bahawa dia telah didera dan dipukul. Dinaik tangan, dinaik kaki.
“Untuk seterusnya, kita biarkan pihak polis menjalankan siasatan. Kepada sesiapa yang tak bersetuju atau tak puas hati, atau mengatakan apa yang Uqasha kata fitnah, mohon failkan saman fitnah terhadap Uqasha, hantar ke pejabat saya,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menasihatkan Kamal untuk melafazkan cerai terhadap Uqasha selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati shiqaq antara pasangan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




