Ratu Rock popular tanah air, Ella Aminuddin menghormati privasi membabitkan isu rumah tangga anak saudaranya, Kaka Azraff yang didakwa bergolak kembali.
Ketika ditemui media, Ella atau nama lengkapnya, Nor Zila Aminuddin, 59, berkata sebagai ahli keluarga terdekat dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat kesejahteraan perkahwinan pelantun lagu Gila itu.
“Dalam perkara sebegitu saya tak boleh masuk campur, itu adalah isu peribadi dia. Tetapi sebagai ibu saudara, dan keluarga kami sentiasa memberi sokongan yang padu untuk Kaka.
“Harapnya rumah tangga dia baik-baik saja. Jadi terpulang kepada dia.
“Kaka pun dah matang. Jadi kita doakan yang terbaik saja untuk dia,” katanya.
Pelantun lagu Retak itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media AirAsia Hausboom Festival 2025 di AirAsia RedQ pada Rabu.
Julai lalu, Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan rumah tangganya bersama suami, Adam Azriff sedang dilanda badai.
Sebagai rekod, Kaka dan Adam telah mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.
Pasangan ini difahamkan telah sah bercerai dengan lafaz talak satu secara rasmi di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober tahun lalu, namun pada Januari lalu, mereka dilaporkan telah kembali rujuk sebagai suami isteri.




