Dialog sulung ASEAN-EU perkukuh agenda alam sekitar, iklim global

Dialog sulung ASEAN-EU perkukuh agenda alam sekitar, iklim global

am@hmetro.com.my

Langkawi: ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) memulakan kerjasama lebih erat dalam usaha mencapai matlamat iklim berimpak tinggi serta memperkukuh perlindungan alam sekitar di peringkat global.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana kepimpinan EU dalam tindakan iklim global menerusi inisiatif ‘European Green Deal’ mampu melengkapi agenda alam sekitar ASEAN.

“Hari ini menandakan detik penting apabila kita memulakan bab baharu dalam kerjasama ASEAN–EU mengenai kelestarian alam sekitar dan tindakan iklim.

“Dua rantau, ASEAN dan EU memiliki ekosistem berbeza, namun kita berkongsi cabaran serta aspirasi sama,” katanya ketika berucap pada Dialog Menteri ASEAN-EU Pertama Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MDEC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Johari berkata, dialog sulung itu turut membuka ruang kepada ASEAN membangunkan rangka kerja lebih kukuh, selain meneroka penyelesaian inovatif dan perkongsian amalan terbaik daripada pengalaman EU.

Katanya, kerjasama itu penting dalam menangani isu kritikal seperti pencemaran plastik, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim, selain meningkatkan inisiatif pembangunan kapasiti serta pemindahan teknologi.

“ASEAN perlukan tindakan kolektif yang melangkaui sempadan geografi bagi menamatkan pencemaran plastik, melindungi lautan dan membina ketahanan iklim.

“Daripada inisiatif ekonomi kitaran hingga pemuliharaan biodiversiti, agenda ASEAN semasa mencerminkan keluasan dan kedalaman kerjasama yang mungkin dicapai bersama EU,” katanya.

Johari turut optimis pertemuan sulung itu membuahkan perbincangan produktif serta kerjasama inovatif, bukan sahaja bermanfaat kepada ASEAN dan EU, tetapi turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top