Diana Danielle, Francis Roman lancar lagu 'Raya Macam Mana?'

Diana Danielle, Francis Roman lancar  lagu 'Raya Macam Mana?'

Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle tampil dengan lagu single terbaharu sempena Aidilfitri berjudul Raya Macam Mana? hasil kolaborasi bersama penyanyi rap, Francis Roman.

Diana atau pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson, 34, dan Francis turut memeriahkan trend menghasilkan lagu raya baharu tahun ini dengan single berjudul “Raya Macam Mana?”.

Lagu berkenaan hadir dengan rentak ceria dan moden, sekali gus membawa kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia.

Menurut Diana kolaborasi berkenaan adalah sesuatu yang sangat istimewa serta menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol pembelajarannya serta mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

“Pendekatan sebegini secara tidak langsung menonjolkan semangat perpaduan apabila rakyat Malaysia saling meraikan budaya antara satu sama lain,” katanya.

Tambahnya, lagu ini amat istimewa apabila ia disampaikan dalam bentuk dialog muzik yang unik apabila Francis mengajukan persoalan mengenai sambutan Hari Raya, manakala Diana menjawab sambil menerangkan tradisi perayaan tersebut.

Disamping menonjolkan bakat menyanyi secara Rap oleh Francis yang turut dikenali di pentas ‘underground’.

Malah mesej yang disampaikan cukup jelas bahawa sambutan Hari Raya boleh difahami dan diraikan oleh sesiapa sahaja, walaupun datang daripada latar belakang budaya yang berbeza.

“Saya meletakkan sasaran agar pendengar gembira dan memahami makna keharmonian masyarakat di negara kita yang ingin disampaikan dalam lagu ini,” kata Francis.

Bagi melengkapkan pelancarannya, single ini turut hadir dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah dan Penerbit Eksekutif Sherman Heng berkata lagu berkenaan membawa makna kegembiraan dan perkongsian.

Menurutnya menghasilkan muzik video untuk lagu berkenaan adalah cabaran yang cukup besar membabitkan banyak lokasi penggambaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top