Diana Danielle mengaku silap, benarkan anak ke sekolah walaupun demam

Diana Danielle mengaku silap, benarkan anak ke sekolah walaupun demam

Pelakon Diana Danielle tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi pengalaman menyentuh bersama anak sulungnya, Muhammad yang memohon maaf kerana merasa dirinya menjadi beban selepas mengalami lumpuh pada bahagian muka akibat jangkitan virus.

Menurut laporan Hib Glam, keadaan anaknya itu memberi kesan emosi yang mendalam sehingga membuatkan dirinya dipenuhi rasa bersalah.

“Muhammad minta maaf sebab menyusahkan ibu (Diana), saya kena jaga dia, tak boleh pergi kerja dan sebagainya. Saya jawab dia amanah saya dan walau apa pun, saya ada di sini dan saya akan menjaga dia. Jadi kita pula yang saya rasa bersalah dengan semua ini, rasa dunia saya gelap.
“Tapi alhamdulillah sekarang dia okey dan saya kongsi sebab mahu bagi saranan pada ibu bapa di luar sana, kalau anak-anak demam, selsema atau batuk, kurangkan aktiviti mereka dan bagi mereka rehat. Jangan paksa mereka lakukan rutin mereka dan pergi sekolah,” katanya kepada Hib Glam.

Sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan anaknya itu mengalami lumpuh muka akibat demam virus disyaki berpunca daripada Guillain-Barré syndrome (GBS) atau Bell’s palsy.

Sementara itu, Diana mengakui kesilapannya kerana pada minggu pertama anaknya sakit, dia percaya kata-kata Muhammad dalam keadaan okey, lalu menghantar ke latihan bola sepak dan sekolah, sebelum menyedari dirinya telah meremehkan soal penyakit tersebut.

Bagaimanapun, dia terharu dengan sokongan yang diterima, sambil menjelaskan bahawa perkongsiannya tentang Muhammad bertujuan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain.

“Saya rasa tersentuh sebab ramai yang mesej mendoakan dan rasa bimbang. Jadi sebagai seorang ibu saya rasa sangat bertuah sebab saya dapat menggunakan platform saya untuk perkara sebegini.
“Niat saya berkongsi mengenai Muhammad, adalah saya tak mahu budak lain melalui seperti apa yang dia lalui. Saya sebagai ibu, sudah cuba sedaya upaya untuk mengawal demamnya yang ‘on’ dan ‘off’ selama tiga minggu,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, aktres berkenaan berkongsi bahawa Muhammad kini menunjukkan tanda pemulihan dengan boleh menggerakkan muka dan bibir selain kembali ke sekolah walaupun masih terasa letih dan kerap tidur.

“Tiga minggu kami tak cukup tidur dan dalam seminggu, Muhammad juga mengalami alergi pada antibiotik walaupun sebelum ini dia tak pernah alergi pada apa-apa,” kongsi Diana lagi.

Untuk rekod, pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson pernah berkahwin dengan aktor, Farid Kamil pada 3 November 2012 namun bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan Muhammad, 13 dan Nur Aurora, 11.

Sumber: Hib Glam (Nur Al-Fairuza Syarfa Saidi Nor Saidi)

Scroll to Top