Diana Danielle sebak, anak sulung minta maaf kerana kesakitan dialami

Diana Danielle sebak, anak sulung minta maaf kerana kesakitan dialami

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Luluh hati pelakon Diana Danielle apabila anaknya Muhammad siap meminta maaf jika memyusahkan dirinya gara-gara masalah kesihatan dialaminya termasuk Bell’s Palsy, baru-baru ini.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, mengakui memang sedih dan ujian menimpa anak sulungnya berusia 13 tahun itu serta disifatkan antara momen gelap buat dirinya.

“Dia minta maaf sebab Muhammad menyusahkan ibu (Diana), saya kena jaga dia, tak boleh pergi kerja dan sebagainya. Saya katakan dia amanah saya dan walau apa pun, saya ada di sini dan saya akan menjaga dia.

“Jadi kita pula yang rasa bersalah dengan semua ini. Saya rasa dunia saya gelap. Tapi alhamdulillah sekarang dia okay. Saya kongsi sebab mahu bagi saranan pada ibu bapa di luar sana.

“Kalau anak-anak demam atau selsema atau batuk, kurangkan aktiviti mereka dan bagi mereka rehat. Jangan paksa mereka lakukan rutin mereka dan paksa mereka pergi sekolah,” katanya ditemui pada pelancaran produk kecantikan Numinara, di sini, semalam.

Diana sebenarnya agak menyesali kesilapan itu. Menurutnya minggu awal Muhammad sakit, dia menurut saja cakap anaknya itu dan setuju dia pergi ke latihan bola sepak dan bersekolah.

Tambanhnya, ibu serta anaknya, Aurora turut mengalami demam pada awal Januari lalu, bagaimanapun hanya Muhammad yang mengalami demam berlarutan selama tiga minggu.

“Saya tak faham bagaimana demam viral ini boleh menjadi seteruk ini pada budak sebab saya tak pernah lalui tapi kali ini Allah memang memberikan dugaan buat saya dan saya dapat memahami peritnya.

“Bila anak sakit berpanjangan, tak tahu punca dan keluar masuk hospital. Jadi sampai sekarang, kami masih mencari punca, tapi pakar neurologi, pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) katakan sama ada Guillain-Barre Syndrome (GBS) atau Bell’s Palsy.

“Kenapa mereka keliru? Sebab anak saya ‘paralyzed’ kedua-dua belah muka dan bukannya satu. Pakar dari lima jabatan di Hospital Sungai Buloh, bersusah payah untuk memahami simptom itu,” katanya.

Diana memaklumkan pihak hospital akan terus menjalankan rawatan dan menerusi steroid yang diberikan, Muhammad dilihat makin sembuh.

“Muhammad sudah boleh gerakkan bibir, muka dan dia sudah boleh pergi sekolah. Dia masih lagi rasa letih dan kerap tidur tapi dia sangat kuat. Dia ambil darah nak dekat lima kali, dia ambil pelbagai ‘test’.

“Melihat itu saya faham bagaimana kuatnya ibu bapa lain yang berhadapan situasi sama. Tapi saya tak tunjuk kesedihan saya depan Muhammad, kami berdua memang sangat penat,” katanya.

Dalam pada itu, Diana berterima kasih kepada semua yang menghantar mesej berkongsi tips pada masa sama mendoakan kesembuhan serta ambil berat terhadap Muhammad.

Diana juga bersyukur pihak sekolah Muhammad memberikan kerjasama yang baik dan prihatin dengan keadaan anaknya.

Terdahulu, Diana berkongsi Muhammad mengalami masalah saraf pada wajah sama ada gangguan Guillain-Barre Syndrome (GBS) atau Bell’s Palsy selepas mengalami demam virus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top