georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Diana Danielle bersyukur keadaan anaknya Muhammad sudah menunjukkan tanda pemulihan pada bahagian wajahnya susulan penyakit saraf atau Bell’s Palsy dialami.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata anak sulungnya berusia 13 tahun itu kini cuma perlu memperbanyakkan senaman otot pada bahagian muka.
“Muhammad semakin pulih dengan baik. Otot pada bahagian mukanya ada peningkatan. Terdapat peningkatan signifikan, ekspresi mukanya sudah lebih jelas, tapi masih perlu kerap buat senaman otot muka.
“Ini adalah bertujuan supaya boleh bergerak dan merangsang sel saraf,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Imaginur berkenaan sempat memperbetulkan andaian liar mengenai punca Muhammad diserang penyakit itu dengan berpesan agar semua pihak peka terhadap keadaan kanak-kanak.
“Ada netizen yang beri pendapat Bell’s Palsy ini disebabkan selalu pasang kipas hala tepat pada muka atau pasang penghawa dingin dan sebagainya.
“Saya nak jelaskan kesilapan info ini. Tidak ada asas saintifik atau perubatan pun mengenai apa yang dikatakan itu.
“Doktor jelaskan Bell’s Palsy disebabkan demam jangkitan virus. Saya cakap ini supaya kita sama-sama lebih peka akan bahayanya jangkitan selesema atau batuk pada kanak-kanak,” katanya.
Berkongsi reaksinya apabila insiden itu berlaku, Diana tidak membuang masa untuk melayan kerisauan dalam diri, sebaliknya terus mencari ikhtiar untuk mengetahui apa yang berlaku pada Muhammad.
“Mula-mula tak perasan, sebab dia baru pasang pendakap gigi. Jadi pada mulanya ingatkan dia tak boleh gerakkan bibir sebab itu. Doktor gigi cakap pada mulanya biasa kalau rasa janggal dan tak boleh bercakap sangat.
“Tapi dah beberapa hari, saya tanya pendapat doktor dan kami pergi periksa balik, kami dinasihati terus pergi hospital. Bila dapat tahu ada benda lain, saya pergi pakar pediatrik dapatkan kepastian pada hari sama,” katanya.
Terdahulu, Diana berkongsi Muhammad mengalami masalah saraf pada wajah sama ada gangguan Guillain-Barre Syndrome (GBS) atau Bell’s Palsy.
Pada mulanya, Muhammad mengalami demam virus, bagaimanapun sudah menjalani pemeriksaan beberapa pakar iaitu neurologi, pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar perubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




