Diana tak halang Farid jumpa anak

Diana tak halang Farid jumpa anak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Shah Alam: Pelakon Diana Danielle, 32, masih lagi membenarkan suaminya, Farid Kamil, 42, bertemu dan bermalam dengan dua anak mereka walaupun hak penjagaan interim berpihak kepadanya atas budi bicara.

Perkara ini dijelaskan peguam mewakili Diana, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang ditemui media selepas sebutan semula inter-parte kes hadanah interim (hak penjagaan anak sementara di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Puteri Umie Kartini berkata, mahkamah hari ini juga sudah melanjutkan perintah interim kepada pihak Diana sehingga tarikh keputusan dikeluarkan pada 8 Ogos depan.

“Setakat ini, Diana tak ada halangan untuk Farid bersama anak-anak. Walaupun perintah tak cakap bermalam, tapi ada saja banyak kali juga Farid mendapat peluang bermalam.

“Masa raya bermalam seminggu, masa hari jadi Farid ada bermalam dan itu atas budi bicara Diana dan dia (Diana) pun tidak pernah menghalang dan ikut anak-anak. Kalau anak-anak okay nak ikut pergi, okay saja,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai prosiding sebutan hari ini, Puteri Ummi Kartini berkata, kedua-dua pihak menfailkan afidavit balasan dan jawapan masing-masing yang keseluruhannya ada lima afidavit

“Tiga daripada pihak pemohon (Diana) dan dua lagi daripada pihak responden (Farid). Ada banyak juga isu di dalamnya antaranya pemohon kata kenapa kita nak jaga dan responden juga ada sebab kenapa dia nak jaga dan sebagainya.

“Secara ringkasnya, ada isu mengenai perbelanjaan, resit-resit dan sebagainya yang didakwa semua disediakan pihak Diana. Jadi, di situlah soal nafkah dan urusan penjagaan anak,” katanya.

Menurut Puteri Umie Kartini, jadi mahkamah menetapkan tarikh untuk penghujahan difailkan secara pentadbiran dan juga keputusan pada 8 Ogos depan.

Terdahulu, pasangan Farid dan Diana menjalani proses sulh bagi membincangkan hak penjagaan anak atau hadanah yang difailkan Diana untuk menuntut penjagaan penuh pada minggu lalu.

Farid turut diperintahkan menghantar surat kepada peguam isterinya lima hari sebelum berjumpa dengan dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora.

Minggu lalu mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula perbicaraan hadanah induk difailkan Diana.

Pasangan Farid dan Diana bernikah mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. Bagaimanapun, Diana memfailkan perceraian pada 10 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd