Diari yang ditulis adalah lebih tepat mencerimkan keadaan mental sesorang

Diari yang ditulis adalah lebih tepat mencerimkan keadaan mental sesorang

KOTA KINABALU: Seorang saksi pakar psikiatri forensik yang sudah memberi keterangannya sebelum ini dipanggil semula dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Dr Chua Sze Hung, 43, dari Hospital Mesra Bukit Padang Kota Kinabalu, yang merupakan saksi ke-67 dipanggil semula bagi melengkapkan sesi soal jawab oleh pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Dalam keterangan kepada mahkamah, Dr Chua berkata, walaupun audio perbualan juga boleh digunakan sebagai bahan penilaian, diari tetap mempunyai nilai lebih tinggi dari sudut forensik dan psikologi.

“Betul, bagaimanapun, seseorang harus sedar bahawa antara dua data itu, diari akan menjadi lebih tepat dalam erti siasatan forensik dan psikologi.

“Interaksi lisan adalah penunjuk keadaan mental seseorang yang paling kurang tepat, terutamanya dalam kalangan remaja di mana penyamaran emosi adalah lebih biasa.

“Diari adalah ekspresi jujur yang tulus daripada diri sebenar remaja, bebas daripada tekanan psikologi, sosial, interpersonal dan halangan penghakiman. Ia merupakan diri sebenar asal, peribadi dan tidak ditapis,” katanya.

Ketika ditanya mengenai rakaman audio perbualan antara allahyarham dan ibunya, Dr Chua menjelaskan penilaian klinikal masih meletakkan keutamaan kepada catatan diari berbanding komunikasi lisan.

“Saya kekal dengan jawapan saya sebelum ini bahawa interaksi lisan adalah kurang tepat berbanding dengan diari.

“Akhirnya, diari mewakili diri yang sebenar. Audio adalah interaksi lisan yang dipengaruhi oleh kemungkinan ‘diri palsu’ (false self) dan pelbagai strategi psikologi serta mekanisme pertahanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan percaya akan ada saat-saat kasih sayang yang tulus dan konflik anak-ibu bapa biasanya bersifat episodik.

“Interaksi lisan adalah penunjuk keadaan mental seseorang yang paling kurang tepat, terutamanya dalam kalangan remaja di mana penyamaran emosi adalah lebih biasa,” katanya.

Pegawai penyelaras, Dacia Jane Romanus meneliti sama ada terdapat faktor tertentu yang menyumbang kepada kesimpulan Dr Sze Hung dalam laporan autopsi bahawa kematian Zara Qairina adalah konsisten dengan bunuh diri.

Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 16 Julai 2025 selepas dipanggil dan disoal siasat sekumpulan pelajar. Dia meninggal dunia keesokan harinya.-UTUSAN

Scroll to Top