Diarra tuntut RM332 juta daripada FIFA

Diarra tuntut RM332 juta daripada FIFA

Paris: Bekas pemain antarabangsa Perancis, Lassana Diarra menuntut pampasan €65 juta (RM332 juta) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Belgium susulan pertikaian undang-undang panjang yang masih berlarutan.

Menurut peguamnya, Martin Hissel, tuntutan itu dibuat sebagai ganti rugi terhadap ‘kerosakan yang disebabkan oleh peraturan perpindahan FIFA’ yang sebelum ini didapati bercanggah dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) oleh Mahkamah Keadilan EU (CJEU) pada Oktober lalu.

“Selepas keputusan CJEU, langkah seterusnya adalah membawa semula kes ke mahkamah nasional untuk melaksanakan keputusan itu,” kata Hissel yang menjangkakan keputusan mahkamah Belgium akan diketahui dalam tempoh 12 hingga 15 bulan.

Kes berkenaan bermula sejak 2014 apabila Lokomotiv Moscow menamatkan kontrak Diarra dengan alasan pelanggaran perjanjian dan menuntut €20 juta (RM102) juta daripadanya.

FIFA kemudian mewajibkan bekas pemain tengah itu membayar €10 juta (RM51 juta) kepada kelab Rusia itu selain dikenakan penggantungan 15 bulan, keputusan yang turut dikekalkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Situasi itu menyebabkan kelab Belgium, Charleroi membatalkan hasrat menandatangani Diarra kerana khuatir terpaksa menanggung penalti berkenaan.

Walaupun FIFA mengumumkan rangka kerja peraturan sementara mengenai perpindahan pemain selepas keputusan CJEU, Diarra tetap kecewa kerana tiada usaha perdamaian dilakukan.

“Saya tunggu beberapa bulan dengan harapan FIFA dan Persekutuan Belgium akan menghubungi untuk menyelesaikan isu ini secara baik. Tetapi itu tidak berlaku. Ia hanya menunjukkan budaya tidak menghormati undang-undang dan pemain,” kata Diarra, 40, yang pernah beraksi bersama Chelsea, Arsenal, Portsmouth dan Real Madrid sebelum menamatkan karier di PSG pada 2019.

Tindakan Diarra turut disokong badan Justice for Players, yang menggesa lebih ramai pemain menyertai tindakan kelas terhadap FIFA bagi menuntut perubahan sistem perpindahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top