Dibayar Tak Setimpal, Fazleena Hishamuddin Imbas Pernah Terima RM500 Lepas 3 Bulan Berlatih Teater

Dibayar Tak Setimpal, Fazleena Hishamuddin Imbas Pernah Terima RM500 Lepas 3 Bulan Berlatih Teater

Pelakon dan penulis, Fazleena Hishamuddin, mendedahkan pernah berdepan pengalaman pahit ketika awal pembabitannya dalam dunia teater apabila menerima bayaran yang tidak setimpal walaupun telah melalui proses latihan yang panjang.

Fazleena, 42, berkata pengalaman itu berlaku sekitar 15 tahun lalu ketika dia terlibat dalam kerja belakang tabir bagi sebuah produksi pentas.

“Saya masih ingat lagi masa itu latihan hampir tiga bulan dan bayaran yang diterima cuma RM500, itu pun selepas tamat persembahan.

“Saya buat kerja belakang tabir ketika itu dan anggap teater sebagai ruang untuk menambah ilmu sebab memang minat,” katanya.

Walaupun menyedari bahawa industri teater tempatan tidak mampu menawarkan imbuhan semewah dunia filem atau drama, Fazleena tetap menghargai pengalaman berharga yang ditimba sepanjang pembabitannya.

Namun begitu, Fazleena secara terbuka menolak sikap segelintir penerbit yang menurutnya hanya mementingkan keuntungan sendiri tanpa memberi pulangan setimpal kepada tenaga kerja.

“Bagi saya ini adalah bentuk manipulasi atau satu bentuk eksploitasi. Tak adil bila sesebuah produksi dapat tajaan atau keuntungan besar hasil jualan tiket, tapi tak memberi ganjaran setimpal kepada pelakon dan kru produksi.

“Bukan soal nak sama rata, tapi hak yang sepatutnya diterima selepas bekerja keras untuk menjayakan sesebuah projek.

“Bagi saya, penerbit perlu jujur dan ada ketelusan dalam pengurusan kewangan. Jika dapat lebih, mereka perlu kongsi.

“Lagipun kami tahu teater tak beri untung besar macam filem, tapi di sinilah nilai persahabatan, disiplin dan semangat seni itu diajar,” katanya.

Dalam pada itu, Fazleena kini kembali ke pentas menerusi pementasan teater Persiapan Seorang Aktor bersama dua nama besar iaitu Nam Ron dan Aloy Paradoks.

Pementasan yang berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) sejak semalam hingga Ahad ini mengupas kisah seorang pelakon lelaki yang terlalu taksub mengejar kesempurnaan dalam dunia lakonan, bukan sahaja untuk diiktiraf sebagai pelakon terbaik Malaysia, malah setanding tokoh teater dunia.

Karya ini membawa penonton menyelami perjuangan mental, emosi dan spiritual seorang anak seni yang sarat dengan tekanan, pengorbanan dan cinta terhadap seni lakon.

Tiket untuk menyaksikan pementasan ini boleh didapati di laman web www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.

Scroll to Top