Soalan:
Saya dan suami bakal menunaikan haji tahun ini. Kami tiada anak kandung, hanya seorang anak angkat perempuan yang kami jaga sejak bayi dan kini berusia 18 tahun serta sedang menuntut di IPT. Betulkah anak angkat tidak berhak mewarisi harta secara faraid, dan apakah langkah terbaik untuk menjamin masa depannya sekiranya berlaku sesuatu kepada kami?
Jawapan:
Ramai yang berangkat ke Tanah Suci dengan persediaan rapi dari sudut ibadah dan rohani. Namun, di sebalik persediaan itu, satu persoalan penting sering terlepas pandang, iaitu sama ada kita benar-benar telah bersedia sekiranya perjalanan ini merupakan perjalanan terakhir.
Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang tidak mempunyai anak kandung, tetapi telah membesarkan anak angkat dengan penuh kasih sayang selama bertahun-tahun. Tanpa perancangan yang jelas, masa depan anak yang ditinggalkan boleh terdedah kepada ketidakpastian dari sudut undang-undang dan kewangan.
Realiti kehidupan masa kini, hubungan anak angkat tidak lagi berbeza dengan anak kandung dari sudut kasih sayang dan tanggungjawab. Namun begitu, realiti undang-undang tidak semestinya selari dengan realiti emosi yang dirasai oleh ibu bapa angkat.
Merujuk kepada persoalan pasangan suami isteri ini tentang kebajikan anak angkat yang telah dibesarkan sejak kecil, isu ini bukan sekadar menyentuh aspek emosi, malah turut melibatkan implikasi undang-undang yang signifikan, khususnya dalam menentukan kedudukan serta hak anak angkat berkaitan pembahagian harta pusaka.
Sehubungan itu, persoalan utama yang timbul ialah tentang masa depan anak angkat tersebut sekiranya berlaku sesuatu kepada kedua-dua ibu bapa angkatnya di tanah suci, khususnya dari sudut perlindungan undang-undang, kestabilan kewangan serta kesinambungan kehidupannya.
Dari sudut undang-undang dan faraid, anak angkat tidak dikira sebagai waris yang berhak menerima harta pusaka. Walaupun hubungan dengan ibu bapa angkat sangat rapat seperti anak kandung, hak pewarisan tidak berlaku secara automatik.
Hakikat ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Ramai beranggapan bahawa tempoh penjagaan atau tahap kasih sayang yang diberikan boleh mempengaruhi hak pewarisan, sedangkan dalam kerangka undang-undang, faktor tersebut tidak diambil kira.
Tanpa perancangan, harta pusaka akan diagihkan kepada waris faraid yang sah seperti ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara si mati. Keadaan ini sering menimbulkan kejutan, khususnya apabila anak angkat yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa angkat tidak mempunyai sebarang jaminan terhadap tempat tinggal, pembiayaan pendidikan atau kesinambungan hidupnya.
Dalam situasi tertentu, pertikaian antara waris boleh melambatkan urusan pentadbiran harta. Kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan agihan pusaka, malah turut memberi kesan kepada kehidupan anak angkat yang masih memerlukan sokongan kewangan.
Perlu difahami bahawa faraid merupakan sistem pembahagian harta yang telah ditetapkan, namun ia bukan bertujuan melindungi individu di luar kategori waris. Justeru, tanggungjawab memastikan kebajikan anak angkat terpelihara bergantung sepenuhnya kepada perancangan semasa hidup.
Wasiat merupakan salah satu instrumen penting dalam perancangan harta. Melaluinya, seseorang dibenarkan memperuntukkan sehingga satu pertiga daripada keseluruhan hartanya kepada bukan waris, termasuklah anak angkat. Peruntukan ini sah di sisi hukum, namun jumlah tersebut tidak boleh melebihi had satu pertiga, manakala baki harta tetap tertakluk kepada pembahagian faraid.
Namun, had satu pertiga ini sering menjadi kekangan, terutamanya apabila keperluan anak angkat melibatkan kos yang besar seperti pendidikan tinggi, tempat tinggal atau perbelanjaan sara hidup jangka panjang. Dalam keadaan ini, pendekatan tambahan perlu dipertimbangkan bagi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh.
Selain pembahagian harta, wasiat juga melibatkan pelantikan wasi untuk mengurus pentadbiran pusaka. Tanpa wasi, waris perlu melalui proses yang lebih panjang dan kompleks melibatkan pelbagai agensi.
Sepanjang tempoh tersebut, harta pusaka berkemungkinan tidak dapat diakses, sekali gus memberi kesan langsung kepada pihak yang bergantung kepada si mati, termasuk anak angkat yang masih menuntut dan memerlukan sokongan kewangan berterusan.
Sehubungan itu, antara kaedah yang lebih komprehensif ialah hibah. Hibah bermaksud pemberian atau hadiah yang dibuat semasa pemilik harta masih hidup dan merupakan instrumen yang sah di sisi undang-undang.
Secara asasnya, hibah terbahagi kepada dua bentuk utama, iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat. Hibah mutlak merujuk kepada pemindahan hak milik harta secara serta-merta kepada penerima semasa pemilik masih hidup.
Setelah disempurnakan, harta tersebut tidak lagi menjadi milik pemberi dan tidak akan termasuk sebagai sebahagian daripada harta pusaka. Hibah bersyarat pula melibatkan pemberian harta dengan syarat tertentu, di mana pemilikan hanya berkuat kuasa selepas kematian pemilik. Sepanjang tempoh hayat, pemilik kekal berhak ke atas manfaat harta tersebut, termasuk penggunaan dan hasil daripadanya.
Pendekatan hibah bersyarat ini memberikan keseimbangan antara kepentingan pemilik dan penerima. Pemilik masih boleh mengawal serta menikmati harta semasa hidup, pada masa yang sama memastikan harta tersebut berpindah kepada penerima yang dikehendaki tanpa melalui proses pembahagian faraid.
Kaedah komprehensif
Bagi anak angkat, hibah merupakan instrumen yang amat signifikan kerana ia membolehkan pemindahan harta dibuat secara terus tanpa tertakluk kepada had satu pertiga seperti dalam wasiat. Pendekatan ini memberi jaminan yang lebih kukuh terhadap aspek penting seperti tempat tinggal, pembiayaan pendidikan serta kesinambungan kehidupan.
Namun begitu, setiap bentuk perancangan harta mempunyai implikasi tersendiri dan perlu disusun dengan teliti agar tidak menimbulkan pertikaian pada masa hadapan. Mendapatkan nasihat profesional adalah langkah yang wajar bagi memastikan setiap perancangan dibuat dengan tepat serta selari dengan kehendak undang-undang.
Natijahnya, persoalan ini bukan sekadar isu berkaitan hak atau pengagihan harta sahaja, tetapi menyentuh aspek yang lebih besar iaitu berkaitan tanggungjawab terhadap individu yang telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang selama 18 tahun.
Dalam banyak keadaan, yang menjadi masalah bukanlah ketiadaan harta, tetapi ketiadaan perancangan yang jelas untuk mereka yang ditinggalkan. Perancangan harta yang baik bukan sekadar melindungi aset, tetapi memastikan insan yang kita sayang terus terpelihara walaupun kita sudah tiada.
*Dr Noraini Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd



