Dibolosi 121 gol, Kelantan FC masih boleh dibanggakan – Vera

Dibolosi 121 gol, Kelantan FC masih boleh dibanggakan – Vera

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Meskipun menutup tirai Liga Super dengan kekalahan, Ketua Jurulatih Kelantan FC Alfredo Vera tetap berbangga dengan peningkatan yang ditunjukkan pemain mudanya.

Ini berikutan hampir semua pemain Kelantan FC yang diturunkan berusia bawah 23 tahun adalah terdiri daripada kurang berpengalaman.

Vera berkata, pemainnya bermain dengan baik dalam 45 minit pertama dan masih boleh mengimbangi perlawanan yang dibarisi pemain import dan tempatan yang berpengalaman.

“Ada sesuatu yang saya tak boleh cakap, lebih baik saya terima apa yang terjadi.

“Kita sudah kalah tetapi yang harus kita cari positif, pemain sudah berani main, awal dulu ragu namun sekarang lebih bagus,” katanya

Selain itu, Vera berkata, dia juga sudah membuat keputusan untuk ‘angkat kaki’ daripada pasukan Kelantan FC selepas mengesahkan akan kembali ke Indonesia kerana mendapat tawaran lebih baik daripada kelab Liga 1 Indonesia.

Menurutnya, beliau sudah berusaha sehabis baik untuk melahirkan ‘bintang’ di The Red Warriors dan turut menasihatkan pemain muda untuk mempamerkan aksi membanggakan seterusnya menyertai pasukan lain pada musim depan.

“Mereka harus punya tanggungjawab, saya beritahu mereka jika mahu menjadi pemain bola harus seratus peratus fokus. Menurut saya pertama kerjaya, berusaha jadi profesional, nanti wang akan kembali sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kelantan United Nazrulerwan Makmor berkata, barisan pemainnya hanya menjaringkan dua gol pada awal permainan kerana kerana memberi peluang TRW bermain bola.

“Separuh masa kedua, pertukaran pemain menjadi titik tolak dan kami sudah menilai lawan, bila ada pemain muda, mereka laju, jadi pemain senior kita campur pemain muda untuk seimbangkan pasukan,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan, Kelantan FC dibelasah 2-6 oleh Kelantan United sekali gus kekal di kedudukan tercorot liga musim 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd