mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Aplikasi e-hailing dari Rusia, Maxim sedang menyelesaikan isu didakwa beroperasi secara haram dengan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Maxim berkata, pada masa sama mengekalkan reputasi dan kepercayaan bagi memberi penjelasan jelas kepada pengguna, rakan kongsi, vendor, dan pihak berkepentingan lain yang bekerjasama rapat dengan Maxim Malaysia.
Menurutnya, syarikat terus beroperasi di Malaysia dan menyediakan perkhidmatan yang tersedia kepada rakyat di seluruh negara.
“Maxim Malaysia mengutamakan keselamatan awam sebagai keutamaan sejak mula beroperasi kira-kira lima tahun lalu.
“Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, keutamaan kami adalah memastikan mereka berasa selesa dan selamat.
“Dengan lesen perantaraan, Maxim Malaysia menyediakan platform unik yang membolehkan pemandu rakan kongsi, penyedia perkhidmatan, dan pengguna kami berhubung dan mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu rakan kongsi yang mendaftar di aplikasi akan menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai khusus, yang memastikan mereka mempunyai dokumen diperlukan untuk mematuhi garis panduan e-hailing ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan.
“Prosedur pemeriksaan ketat Maxim Malaysia adalah sebahagian daripada ketelusan korporat kami yang sebenarnya menjamin keselamatan awam secara umum.
“Sepanjang beroperasi, Maxim Malaysia memberikan sumbangan besar kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia,” katanya.
Menurut Maxim, bagi memastikan pemandu rakan kongsi yang berpotensi dapat memperoleh lesen PSV dengan cepat untuk menyertai platformnya, mereka bekerjasama dengan beberapa sekolahme mandu di seluruh Malaysia.
“Selain itu, Maxim Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pemandu berpotensi memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas di jalan raya.
“Maxim Malaysia, pemain utama dalam sektor e-hailing, mempunyai platform teknologi kukuh dengan ciri orang kurang upaya (OKU) yang memudahkan pengguna mendapatkan sokongan yang disesuaikan.
‘Ini menunjukkan Maxim Malaysia sentiasa menyokong ekonomi dan budaya inklusif yang mana pelbagai penyedia perkhidmatan boleh bekerjasama untuk menyediakan kestabilan kewangan dan sokongan kepada keluarga mereka.
“Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa beroperasi secara haram iaitu InDrive dan Maxim, diarahkan menghentikan operasi mereka berkuat kuasa 24 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, APAD sudah menghantar surat memberhentikan operasi kepada dua aplikasi e-hailing berkenaan, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd