Pelakon, Hafidz Roshdi tampil bersuara secara terbuka apabila mendakwa dihalang daripada bertemu serta berhubung dengan dua anaknya, Humairah dan Umar oleh bekas isterinya, Nur Shuhada Shukri.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Hafidz, 32, menitipkan pesanan agar isu peribadi antara mereka tidak melibatkan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa.
“Kalau awak ada masalah dengan saya, jangan libatkan anak-anak. Mereka tetap perlukan ‘father figure’ dan saya juga ada hak yang diberikan oleh mahkamah.
“Saya mohon maaf atas segala yang berlaku sebelum ini, sama ada dari segi kewangan, emosi atau perkara lain yang mungkin saya terlepas pandang,” katanya.

Dalam pada itu, Hafidz menegaskan dia tidak berniat untuk bermusuh, sebaliknya hanya mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
“Saya tak mahu bermusuh dengan awak. Saya cuma nak hak untuk melawat Humairah dan Umar. Saya sudah minta maaf dan laksanakan tanggungjawab saya.
“Luka di hati awak mungkin hanya Allah yang mampu sembuhkan, tapi saya tetap mahu jumpa anak-anak, jalankan tanggungjawab sebagai abah. Jangan sekat atau halang.
“Saya juga nak hubungi mereka, tanya khabar dan perkembangan. Tolong berikan nombor telefon terkini Humairah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada sah bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata.
Hafidz kemudian kembali mendirikan rumah tangga bersama cinta pertamanya, Athira Yuhada pada Disember 2023 dan kini memiliki seorang anak perempuan.




