Baru sahaja reda konflik rumah tangga, nama usahawan sensasi, Bonda Rozita sekali lagi hangat menjadi perbualan netizen di media sosial.
Ia ekoran timbul dakwaan mengatakan ibu kepada usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri ini dipercayai ‘lari’ daripada membayar kontraktor dalam melakukan kerja-kerja pengubahsuaian kediaman mewahnya di London, United Kingdom.
Susulan itu, menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Rozita memaklumkan dia telah mengambil tindakan terhadap kontraktor itu, bagaimanapun memilih untuk terus mengunci mulut berhubung isu tersebut.
“Isu viral saya dikatakan tidak membayar hutang kepada kontraktor, saya tak mahu ulas lanjut tentang spekulasi ini dan saya berani untuk menjelaskan tindakan telah pun diambil, peguam di London dan di Malaysia.
“Jadi, kalau anda sudah lihat isu viral ini, kita nantikan tindakan peguam saya untuk selanjutnya,” katanya dalam muat naik tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Rozita menepis sekeras-kerasnya dakwaan culas membuat pembayaran dalam setiap perniagaan yang diusahakannya.
“Projek mega Rumah Hutan Bonda dan kilang-kilang bahan mentah produk puluhan juta saya tak pernah lari bayaran,” ujarnya.
Sebelum ini, individu tersebut mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran meskipun proses mengubah suai kediaman Rozita termasuk tandas, karpet mewah untuk tujuh bilik dan tangga telah selesai.
Malah, individu itu turut mendakwa Rozita telah menyekatnya di media sosial, selain turut memaklumkan dia sudah berusaha ke Malaysia bagi bertemu dengan usahawan tersebut namun masih tidak ada perkembangan baik.





