Didakwa tipu urusan pajak tanah milik anak syarikat kerajaan Perak

Didakwa tipu urusan pajak tanah milik anak syarikat kerajaan Perak

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kerani firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menipu urusan pajakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Perak, dua tahun lalu.

Tertuduh, M Gabriel Youshua, 66, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu dan dengan curangnya memperdaya K Suppan bagi membuat bayaran menerusi cek CIMB berjumlah RM110,417.25 dan cek Public Bank berjumlah RM220,834.50 dengan menawarkan pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), yang mana mangsa tidak akan menyerahkan bayaran itu sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan dilakukan di pejabat firma guaman di Greentown Square, Jalan Datuk Seri Ahmad Said, di sini pada 10 pagi, 14 April 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan tertuduh diikat jamin RM20,000, namun peguam Nahtan Krishnan yang mewakili tertuduh merayu jaminan lebih rendah mengambil kira Gabriel tidak bekerja, selain dia adalah orang kurang upaya (OKU) dan bukan orang dalam senarai hitam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober depan sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top