SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak akan mengkhianati mandat rakyat Ampang walaupun berdepan pelbagai tuduhan serta label susulan perbezaan pandangan dan pendekatan politik.
Kenyataan itu dibuat susulan desakan Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Daing Muhammad Reduan Bachok, yang meminta Rodziah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Parlimen Ampang kerana didakwa tidak lagi mencerminkan semangat perjuangan serta kesetiaan kepada kepimpinan parti.
Rodziah berkata, beliau memilih untuk memberi respons secara tenang dan berhemah terhadap kenyataan yang disebarkan berhubung kedudukannya sebagai ahli Parlimen Ampang kerana percaya rakyat semakin matang dalam menilai antara politik persepsi dan kerja sebenar demi kepentingan mereka.
Menurutnya, sejak awal pagi tadi beliau berada di lapangan meneruskan siri lawatan kerja selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen bagi meneliti pelbagai isu berkaitan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, antara isu yang diberi perhatian termasuk keganasan rumah tangga, penderaan, pemulihan tagihan dadah, perlindungan wanita dan kanak-kanak serta penambahbaikan dasar sosial negara.
“Bagi saya, itulah amanah sebenar seorang wakil rakyat iaitu hadir, mendengar, meneliti dan membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar.
“Politik tidak seharusnya hanya berkisar tentang kenyataan media, persepsi dan percaturan dalaman semata-mata sedangkan rakyat sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang jauh lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.
Rodziah berkata, beliau telah melalui perjalanan politik yang panjang serta penuh cabaran dan pengorbanan, justeru tidak mudah tergugat dengan tuduhan atau label yang dilemparkan.
Menurutnya, dalam sebuah demokrasi yang matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan, manakala bertanya dan berfikir sebelum membuat keputusan juga bukan pengkhianatan.
“Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu,” katanya.
Rodziah turut menegaskan, perkara lebih penting ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang.
“Amanah diberikan rakyat itulah yang terus saya junjung setiap hari di Parlimen, di lapangan bersama masyarakat, dalam perbincangan dasar mahupun dalam apa jua ruang yang membolehkan suara rakyat Ampang dibawa dan diperjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok, sebaliknya amanah rakyat yang perlu dipertahankan dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.
“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian, bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan,” tambahnya.



