Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil dengan pendirian jelas apabila menegaskan beliau tidak pernah bergantung kepada nama besar keluarganya, sebaliknya melalui proses dan cabaran sendiri dalam membina jati diri.
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkongsi secara terbuka tentang bagaimana beliau dibesarkan dengan didikan tegas, berdepan persepsi masyarakat serta perjalanan panjang membentuk keyakinan diri hingga mampu berdiri di pentas politik atas kapasiti sendiri.

Dididik seperti anak lelaki sejak kecil
Menurut Nurulhidayah, beliau dibesarkan dalam suasana yang berbeza daripada kebanyakan kanak-kanak perempuan lain, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai anak sulung.

Beliau berkata, pendekatan didikan bapanya yang juga Presiden UMNO menjadikan beliau lebih lasak dan tidak dimanjakan dengan elemen kebiasaan seorang anak perempuan.
“Bila saya jadi anak sulung perempuan, saya dididik seperti seorang anak lelaki. Mungkin abah lupa saya ni anak perempuan.
Saya tak ada Barbie, tak ada anak patung,” katanya menerusi program bual bicara OMM podcast.

Kongsinya, walaupun berpakaian seperti kanak-kanak perempuan lain, cara didikan yang diterima membentuk ketahanan diri dan sikap berdikari sejak kecil.
“Saya dididik seperti anak lelaki, tak dilayan seperti puteri. Cara didikan tu betul-betul hasil daripada tangan abah,” ujarnya.
Tidak guna ‘kabel abah’, semua urusan ikut proses
Dalam pada itu, Nurulhidayah turut menegaskan beliau tidak pernah menggunakan kedudukan bapanya untuk memudahkan sebarang urusan peribadi, termasuk hal berkaitan perkahwinannya bersama suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff di Arab Saudi.

Katanya, proses mendapatkan pengesahan pernikahan mengambil masa sehingga tujuh tahun, bukti bahawa beliau melalui prosedur yang sama seperti orang lain.
“Tahun 2017 saya bernikah, tapi tahun 2024 baru dapat kelulusan. Tujuh tahun. Kalau nak cakap pasal kelebihan sebab abah saya TPM tak ada. Saya tetap kena ikut proses yang sama,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman harian berurusan dengan agensi kerajaan yang menurutnya tidak pernah diberi layanan istimewa kerana menurutnya, perkara paling penting adalah menjaga nama baik keluarga dengan membina reputasi sendiri.
“Pergi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tukar nama kereta, semua kena ikut prosedur. Tak ada lompat giliran sebab anak TPM. Masuk tandas pun kena beratur,” kongsi Nurulhidayah.

Dari keyakinan diri ke pentas Perhimpunan Agung UMNO
Mengulas perkembangan dirinya dalam politik, Nurulhidayah mengakui beliau kini lebih yakin untuk tampil berucap di khalayak ramai, termasuk di pentas Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, sokongan keluarga menjadi antara faktor yang mendorong beliau untuk terus ke hadapan, malah ada yang melihat potensi beliau untuk mengikuti jejak tokoh politik wanita terkenal, Tan Sri Rafidah Aziz.
“Seorang anak memanglah mengidolakan bapanya. Tapi dari segi politik banyak lagi idola lain dan salah satunya ialah Tan Sri Rafidah Aziz.
“Masa kecil saya memang suka bercakap, seolah-olah kalau berdebat dengan ahli keluarga pun, mak saya selalu cakap ‘Kak Long ni nanti macam Rafidah Aziz’.





