Didie Shazry juara Raise The Star

Didie Shazry juara Raise The Star

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Shah Alam: Didie Shazry muncul juara pertama program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia pada pentas akhir yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam, di sini, malam ini untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan trofi serta berpeluang merakamkan satu single.

Persembahan memukau Didie menerusi lagu Peganglah Hati ciptaan Aina Abdul membawa tuah buatnya.

Tempat kedua dimenangi oleh Zuana yang menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi dan peluang merakamkan satu single manakala ketiga milik Raymee yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi dan berpeluang merakamkan satu single.

Keempat dan kelima pula milik Hariz Fayahet dan Keka dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi dan peluang merakamkan satu single.

Raise The Star Malaysia yang berlangsung selama lapan minggu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104), serta boleh distrim menerusi platform digital Astro GO dan sooka.

Program ini membawa kelainan kepada format konvensional program realiti nyanyian apabila memfokuskan kepada perspektif komposer dalam proses pemilihan dan pembangunan bakat baharu.

Antara nama besar yang menghiasi barisan komposer utama musim pertama ini ialah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna.

Menerusi pengalaman dan reputasi masing-masing dalam industri muzik, mereka bukan sahaja bertindak sebagai juri, tetapi turut mencipta lagu khas untuk para peserta yang mereka pilih untuk mara ke pentas akhir ini. Peserta diadili oleh komposer berdasarkan persembahan dengan markah penjurian sebanyak 80 peratus, manakala undian umum pula menyumbang kepada 20 peratus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top