Pelakon dan usahawan terkenal, Noor Neelofa menyifatkan isu buli di sekolah berasrama yang semakin menjadi-jadi hingga meragut nyawa pelajar sebagai sesuatu yang amat membimbangkan dan perlu ditangani segera.
Menurut Neelofa, sepanjang lima tahun menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi, dia tidak pernah berdepan insiden buli fizikal, sebaliknya hanya berlaku secara ringan seperti usikan atau cubaan menunjukkan kuasa.
“Alhamdulillah Allah lindungi kami daripada pengalaman sebegitu. Tetapi sekarang kes buli semakin melampau sehingga ada yang hilang nyawa. Itu sudah keterlaluan,” katanya.
Neelofa turut menyokong langkah MRSM melantik bekas anggota tentera sebagai warden asrama yang diyakini mampu memantau disiplin pelajar dengan lebih tegas.
“Pendekatan ini sangat bijak dan sepatutnya dilaksanakan di semua sekolah berasrama. Sekurangnya ia dapat mengurangkan gejala buli yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemu bual program Melodi TV3.
Mengulas lanjut, Neelofa menegaskan pendidikan agama, akhlak dan adab perlu ditanam sejak kecil oleh ibu bapa agar anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya negatif.
“Mak ayah kena ingatkan anak-anak niat mereka belajar adalah untuk tuntut ilmu, bukan menyakiti orang lain baik dari segi emosi, percakapan apatah lagi fizikal hingga meragut nyawa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Neelofa yang pernah berdepan isu buli siber sejak zaman blog lagi berkata, perkara yang berlaku di alam maya lebih sukar ditangani kerana kesannya memberi tekanan terhadap kesihatan mental serta keyakinan diri mangsa.
“Saya dah lalui sejak dulu. Orang cakap macam-macam tentang saya dan keluarga. Cara saya hadapinya adalah tapis komen yang dibaca. Mana yang membina saya terima, yang negatif saya abaikan.
“Kalau ada salah saya perbaiki, kalau tidak saya terus move on. Yang penting jangan terbawa-bawa dengan komen negatif,” jelasnya.
Neelofa turut berkongsi dia beruntung kerana memiliki sokongan keluarga serta suami, PU RIz yang sentiasa menegur dan memberi nasihat.
“Kena dengar cakap orang yang kenal kita, bukan orang luar. Kebanyakan komen mereka tak betul. Kalau betul salah, bincang dan perbaiki,” katanya.
Sumber: Melodi TV3




