ANAK bukan sekadar zuriat kurniaan ALLAH SWT, tetapi ia hadir dengan sebuah amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat.
Jika kita direzekikan dengan seorang cahaya mata, semuanya akan ditanya kelak. Begitu juga apabila kita memiliki tiga anak yang mana setiap satunya akan ditanyakan kelak.
Demikian tegas pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi ketika berkongsi muhasabah tentang erti mendidik anak dalam dunia yang semakin mencabar.

USTAZAH NUR AQIDAH
“Alhamdulillah syukur, ALLAH kurniakan tiga orang cahaya mata kepada kami. Bila ada bertanya ‘Tak nak tambah ke? Nanti semua dah besar hidup kita sunyi’, saya senyum dengan ucapan cukuplah sekadar ini, jika ada rezeki kita pun tak tahu,” tulisnya menerusi hantaran laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Namun, bukan soal rezeki atau sunyi yang menjadi pertimbangan utama beliau dan suami, sebaliknya persoalan yang lebih besar dan bersifat ukhrawi menjadi keutamaan mereka.
“Kami memikirkan bukan soal rezeki, bukan soal penat nak jaga, tapi soal hidup kami di akhirat,” tulisnya.
Tegas Ustazah Nur Aqidah, anak-anak bukan sekadar amanah, tetapi juga akan menjadi asbab pertanyaan kelak di hadapan ALLAH SWT.
Jelas beliau, setiap seorang daripada mereka akan dipersoalkan secara individu terhadap ibu bapa mereka.
“Pernah ajar anak solat? Bukan sekadar suruh. Pernah ajar cara menutup aurat? Bukan sekadar suruh.
“Pernah ajar bila suci daripada haid atau perihal darah wanita? Pernah ajar al-Quran, amal dan fahami al-Quran kepada anak?,” tulis beliau.

BUKAN kuantiti anak yang menjadi ukuran, sebaliknya kualiti didikan terhadap mereka yang akan menjadi penentu kejayaan sebenar seorang ibu bapa di sisi ALLAH SWT. -Foto: CANVA
Apatah lagi dalam dunia akhir zaman penuh fitnah dan sifat malu kian menghilang kini, penceramah terkemuka itu menekankan begitu pentingnya mendidik anak-anak dengan akhlak mulia.
“Banyak lagi yang perlu dipersoal. Sama ada dapat jawab ke tak. Itulah mengapa cukup sekadar ini.
“Bukan soal sunyi atau rezeki, tetapi ini amanah dan tanggungjawab ketika hendak menghadap ALLAH,” ungkapnya.
Menerusi hantaran sama, Ustazah Nur Aqidah turut menyentuh tentang salah faham sesetengah pihak terhadap konsep rezeki dan anak.
Beliau menegaskan, bukan kuantiti anak yang menjadi ukuran, sebaliknya kualiti didikan terhadap mereka yang akan menjadi penentu kejayaan sebenar seorang ibu bapa di sisi ALLAH SWT.
“Doakan yang baik-baik untuk kita semua. Anak ini aturan ALLAH. Buatlah macam mana pun, andai ALLAH kata tiada, maka tiadalah (anak),” katanya.
Kepada pasangan yang belum dikurniakan zuriat, Ustazah Nur Aqidah menjelaskan, mereka tidak dihisab bab anak di akhirat kelak.
“Pada mata dunia, mereka itu mandul dan rugi, tetapi di sisi ALLAH, mandul itu jika ada anak, tapi tidak mengajarkannya untuk kenal ALLAH dan syariat-syariat yang ALLAH tetapkan. Itulah ibu bapa yang sebenarnya mandul.
“Seperkara lagi, usah bersedih kalau (ada) yang anaknya sedikit. Kita saja yang tahu apa matlamat kita,” terangnya.

ANAK bukan sekadar amanah, tetapi juga akan menjadi asbab pertanyaan kelak di hadapan ALLAH SWT. -Foto: CANVA
Beliau mengakhiri coretannya dengan doa berbunyi: “Ya ALLAH pemilik dunia dan akhirat, pemilik langit dan bumi, kurniakan kami kesempatan untuk ajarkan anak-anak kami agar menjadi hamba-MU yang bertakwa dalam segala peranan mereka di dunia ini sebelum ENGKAU menjemput kami pulang.”
Sesungguhnya, anak bukan hanya penambah seri keluarga, tetapi merupakan amanah besar yang menentukan posisi kita di akhirat kelak.
Maka sebagai orang tua, usahlah kita sekadar suruh semata-mata, sebaliknya ajar, bimbing dan didiklah permata hati masing-masing untuk mengenal ALLAH seawal mungkin.