Diet karnivor, pempengaruh masuk hospital

Diet karnivor, pempengaruh masuk hospital

Washington: Pempengaruh media sosial, Eve Catherine dimasukkan ke hospital dipercayai kerana mengamalkan ‘diet karnivor’ yang tular.

Portal NDTV melaporkan, diet diamalkan merangkumi makanan berasaskan protein iaitu beberapa telur ketika sarapan pagi, yogurt berprotein tinggi sebagai menu makan tengah hari dan stik untuk makan malam.

Walaupun doktor memberi peringatan mengenai paras protein yang tinggi dalam air kencingnya ketika pemeriksaan rutin, Catherine menolak amaran itu.

Akibatnya, tahap kesihatannya semakin merosot hingga memerlukan rawatan perubatan kecemasan, lapor New York Post.

Catherine mengimbas kembali pengalaman yang mengerikan selepas kencing berdarah selepas bangun tidur.

Dia mengaku mempunyai obsesi lampau terhadap protein, yang menyebabkannya dimasukkan ke hospital.

Ketika dirawat, Catherin diberi morfin dan akhirnya batu karang dikeluarkan.

Catherine. mendakwa simptom itu adalah hasil daripada pengambilan protein yang tinggi.

Menurut Mayo Clinic, diet protein tinggi boleh memburukkan lagi keberkesanan buah pinggang penghidap penyakit buah pinggang sekali gus menghalang cara badan menapis lebihannya.

Dalam hal itu, penting untuk mengekalkan diet seimbang dan berunding dengan profesional penjagaan kesihatan atau pakar diet berdaftar sebelum membuat perubahan ketara pada tabiat pemakanan anda.

Diet karnivor terdiri daripada makanan kaya protein seperti daging, ikan, dan ayam , serta mendapat perhatian di media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pakar kesihatan berulang kali memberi amaran mengenai risiko yang berkaitan dengan diet ini, termasuk perkembangan batu karang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top