Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir menegur tindakan seorang pengguna media sosial di platform Threads miliknya selepas individu berkenaan meninggalkan komen kasar pada salah satu hantarannya.
Menerusi perkongsian tersebut, Shiha kelihatan berkongsi beberapa foto ketika hadir pada majlis ilmu yang diadakan di syarikat miliknya, Shiha Zikir Empire.
“Ilmu tidak mengenal usia. Jangan pernah berhenti belajar,” kongsinya.
Bagaimanapun, individu berkenaan tampil membalas hantaran tersebut dan menggelarkannya sebagai ‘bengap’.

Tidak berdiam diri, pelantun lagu AEWO itu akhirnya bersuara dengan mempersoalkan tindakan individu berkenaan.
Ujarnya, menegur seseorang itu bukanlah satu kesalahan, namun ia seharusnya dilakukan dengan adab serta penggunaan bahasa yang betul.
“Boleh nak tegur, tapi macam ni ke cara yang betul? Harap awak tak koyak kalau orang lain pula bengapkan awak.
“Saya tak ada cakap yang tak boleh di tegur ya… Tapi saya tegur pasal adab menegur dan bahasa yang dikeluarkan. Harap maklum dan faham.
“Doa sahaja yang baik-baik untuk semua orang,” katanya.






