Dihempap pokok tumbang, dua pensyarah wanita stabil

Dihempap pokok tumbang, dua pensyarah wanita stabil

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, semalam dalam keadaan stabil serta sedar dan kini berada di wad multidisiplin, Hospital Shah Alam.

Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais berkata, setakat ini laporan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) bagi Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf masih belum keluar.

“Kedua-dua mereka dalam keadaan stabil dan sedar. Dr Nur Shahidah mengalami luka di kepala yang memerlukan lapan jahitan serta patah tulang (C2) manakala Dr Shareena Fairuz pula patah tulang (T5).

“Difahamkan, kedua-duanya perlu memakai pendakap khas selama tiga ke empat bulan dan pemeriksaan susulan akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya berhubung tindakan universiti terhadap insiden berkenaan, Prof Dr Ismie Roha berkata, pihak pengurusan akan memastikan semua tugasan di bawah kedua-dua pensyarah ini diatur semula dan diuruskan sepenuhnya oleh pihak fakulti.

Katanya, perkhidmatan kaunseling kepada kedua-dua pensyarah dan keluarga juga akan disediakan bagi memastikan kesembuhan trauma mental dapat ditangani secara bersama.

“Pihak pengurusan UiTM memberi perhatian serius kepada keperluan kedua-dua pensyarah ini dalam memastikan rawatan dan sokongan yang terbaik diberikan kepada kedua-duanya.

“Derma kilat yang kita mulakan semalam juga mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan ditutup Isnin depan agar sumbang dapat disampaikan kepada mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, dua wanita yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam cedera selepas kenderaan Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok berdekatan sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top