LONDON: Dua pengurus pengebumian yang tidak berperikemanusiaan dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh sebuah mahkamah selepas didapati bersalah membiarkan 46 jasad mereput di dalam sebuah bilik penstoran mayat di premis mereka.
Hukuman ke atas Richard Elkin, 49, dan Hayley Bell, 42, dijatuhkan oleh Mahkamah Mahkota Portsmouth, Britain selepas kedua-duanya didapati bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kacau ganggu awam, menghalang pengebumian yang sah dan menjalankan perniagaan dengan niat menipu.
Mahkamah dimaklumkan bahawa antara Jun 2022 hingga Disember 2023, mereka sengaja menyimpan mayat-mayat tersebut pada suhu setinggi 15 darjah Celsius, jauh berbeza daripada suhu piawaian 4 darjah Celsius hanya semata-mata untuk mengurangkan kos operasi perniagaan mereka.
Dalam satu siri kenyataan yang dibacakan di Mahkamah Mahkota Portsmouth, seorang ibu yang juga rakan kepada Bell menceritakan bagaimana dia dinafikan peluang untuk memeluk bayinya, Albie, buat kali terakhir.
Ini berlaku selepas tertuduh mengunci jasad bayi tersebut di dalam keranda.
Dalam kejadian lain, mereka gagal menyediakan keranda untuk seorang lelaki warga emas dan membiarkan jasadnya mereput di dalam bilik mayat tanpa sistem pendingin, dengan air menitis di dinding.
Rakaman yang dikeluarkan oleh Polis Hampshire ketika serbuan memaparkan detik seorang anggota polis memasuki premis tersebut di Gosport, Hampshire, pada Disember 2023.
Anggota polis berkenaan menemukan penemuan ngeri di mana berpuluh jasad disimpan di dalam bilik yang panas dengan sebuah baldi diletakkan di lantai untuk menadah air dari siling yang bocor.
Beliau kedengaran berkata bahawa mungkin terdapat kesalahan undang-undang berlaku kerana mayat tidak disimpan di dalam peti sejuk, namun Elkin dan Bell mendakwa kononnya terdapat sistem pendingin di situ.
“Ia sememangnya tidak sejuk, malah air menitis dari siling dan macam-macam lagi,” balas anggota polis terbabit.
Keadaan jijik di dalam premis itu didedahkan sepenuhnya menerusi video berkenaan, memaparkan timbunan sampah-sarap di samping kesan lembap yang ketara serta lubang pada siling bangunan. -AGENSI




