Diiktiraf 8 kali berturut-turut

Diiktiraf 8 kali berturut-turut

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sentiasa konsisten menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuatkan McDonald’s Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025, menjadikan ia pengiktirafan buat tahun kelapan berturut-turut dimenangi mereka.

Lebih membanggakan, pada kali ini syarikat tersebut berjaya merangkul dua anugerah berprestij, iaitu Corporate Compassion Excellence Award dan Long-Standing Excellence Award, sekaligus membuktikan McDonald’s Malaysia adalah syarikat peneraju dalam melakukan kerja amal di Malaysia.

Sustainability & CSR Malaysia Awards telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya dengan Beyond Profits, Making Our World a Better Place diangkat sebagai tema pada anugerah kali ini.

Tema ini seiring dengan usaha dilakukan McDonald’s Malaysia yang sentiasa berusaha menjadi jiran prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi mereka dan ia adalah amalan utama mereka bertapak di negara ini, empat dekad lalu.

Dua anugerah yang diperoleh McDonald’s Malaysia disampaikan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya menghargai pengiktirafan diberikan pihak penganjur, yang melihat usaha yang dilakukan syarikat selama ini.

“Ini adalah tahun kelapan berturut-turut McDonald’s Malaysia mendapat tempat dalam Sustainability & CSR Malaysia Awards dan Alhamdulillah kami juga berjaya menggondol Long-Standing Excellence Award buat tahun kedua kali ini.

“Pengiktirafan ini juga adalah bukti komitmen McDonald’s Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap komuniti yang sentiasa menjadi teras dalam setiap yang kami lakukan,” katanya.

Menurutnya, McDonald’s Malaysia bukan sekadar sebuah restoran yang menyediakan makanan semata-mata, tetapi juga sentiasa memberikan impak yang positif dan bermakna kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Justeru itu, kata Azmir, McDonald’s Malaysia akan terus melakukan program kemasyarakatan yang boleh mendekatkan jenama mereka dengan komuniti.

“Dengan tema majlis pada tahun ini, Beyond Profits, Making Our World a Better Place, kami akan terus menyantuni komuniti dengan program kemasyarakatan.

“Kami akan sentiasa melakukan kebaikan kepada rakyat Malaysia dan berharap usaha yang dilakukan kami mendapat tempat di hati mereka,” ujarnya.

Usaha-usaha kemasyarakatan McDonald’s Malaysia diserlah melalui Program Komuniti @McDonald’s yang mana setiap tahun mereka akan menganjurkan lebih 10,000 inisiatif menyantuni komuniti di seluruh negara tanpa mengira latar belakang merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Program ini sudah dijalankan sejak 2017 dan kini memasuki tahun ke-9.

Antara usaha mereka termasuk menyantuni warga emas dan anak-anak yatim, sumbangan kepada masjid dan surau, sumbangan makanan kepada komuniti, sumbangan Kotak Rezeki kepada B40, asnaf dan mangsa banjir sertai meraikan golongan yang berjasa seperti guru dan petugas barisan hadapan sebagai tanda terima kasih atas khidmat mereka kepada rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top