Penyanyi Indonesia, Nyoman Paul mengaku single terbaharunya berjudul ‘Alunan Mimpi’ adalah diinspirasikan dari kisah peribadinya.
Katanyam sahabat bukan sekadar teman, tetapi kehadiran yang luar biasa dan mampu mencorakkan kehidupan dengan warna yang berbeza.
Oleh sebab itu, Alunan Mimpi’ adalah penghormatan kepada mendiang sahabatnya.
Dalam pada itu, Nyoman Paul memaklumkan, idea untuk lagu ini adalah dari sebuah mimpi yang dialaminya. Di mana dia melihat sahabatnya yang telah tiada.
Seperti kebanyakan mimpi, mesej yang ingin disampaikan tidak begitu jelas, lalu Nyoman mencuba untuk mengungkapkan perasaannya melalui melodi dan lirik lagu ini.
“Paul pernah bermimpi tentang mendiang sahabat Paul. Namun, seperti yang kita tahu, dalam mimpi, segala-galanya kabur dan tidak jelas. Maka, Paul cuba menterjemahkannya dalam bentuk lagu sebagai satu kenangan persahabatan kami,” ulasnya.
Alunan Mimpi merupakan single kelima Nyoman Paul, susulan kejayaan lagu hitnya berjudul, Tunggu Apa Lagi. Lagu ini ditulis oleh Nyoman sendiri dengan kerjasama S/EEK, Rahman Sadli Waraiya, dan Clara Riva.
Mengetengahkan nuansa muzik era 2000-an, lagu ini menghasilkan melodi yang menarik serta penuh nostalgia.
“Karya ini sangat sentimental bagi saya kerana ia berakar daripada pengalaman peribadi yang amat bermakna. Saya berharap lagu ini menjadi persembahan yang akan saya kenang sepanjang hayat,” kata Nyoman Paul.
Dari sudut susunan muzik, lagu ini menampilkan unsur pop rock yang catchy, menjadikannya selesa untuk didengar.
Dengan melodi yang sederhana tetapi sarat dengan emosi, Alunan Mimpi membawa aura band muzik yang lengkap, mencipta pengalaman mendengar yang menyentuh hati.
Menariknya, video lirik lagu ini turut melibatkan Ni Putu Helena Ayu Waringin atau lebih dikenali sebagai Helena iaitu anak kepada mendiang sahabatnya.
“Saya sengaja mahu melibatkan mereka, Helena dan ibunya. Mereka adalah insan yang luar biasa kuat, dan saya berharap ketabahan mereka dapat menjadi inspirasi kepada kita semua,” jelasnya.
Video lirik yang menggambarkan kehidupan seharian Helena ini dihasilkan oleh You Know Who Film dengan David Christover bertindak sebagai Director of Photography.
“Saya berharap lagu ini menjadi kenangan indah, bukan hanya untuk saya, tetapi juga buat keluarga sahabat saya, terutamanya Helena. Saya juga berharap ia dapat menguatkan hati sesiapa sahaja yang mendengar serta mengembalikan nostalgia tentang insan atau perkara yang sudah tiada bersama kita,” tambahnya.




