Apabila keutuhan kesetiaan dalam persahabatan dicabar dengan kehadiran seorang wanita, mampukah tercipta sebuah pengakhiran yang membahagiakan buat semua.
Antara Dua Syurga, sebuah kisah penuh tarikan dengan sentuhan nilai Islamik, menemui penonton di Slot Lestary TV3.
Mengupas kisah persahabatan, persaingan, keimanan serta kerumitan hubungan manusia, ia membawa penonton menelusuri perselisihan dan dilema kehidupan menguji ketabahan hati antara watak-watak.
Drama ini merungkai kisah pertembungan antara rakan karib, kerjaya dan cinta tiga segi yang kompleks dengan pergolakan emosi dan plot yang tidak terduga.
Antara Dua Syurga bermula dengan kisah ikatan persahabatan yang akrab antara dua jejaka, Firdaus dan Naim.
Dikenali sebagai duo yang hebat dengan kreativiti dan kebolehan luar biasa dalam menarik ‘klien’ besar di sebuah agensi pengiklanan ternama, mereka terpaksa menghadapi cabaran paling besar apabila diberi tugas untuk mendapatkan pelaburan penting daripada Azami Food Industries.
Misi ini juga membawa mereka berhadapan May Wong iaitu ketua pemasaran yang terkenal dengan kesukaran untuk bekerja bersama.
Untuk menarik perhatian May, Firdaus dan Naim merancang pelbagai strategi namun mereka menyedari bahawa minat May terhadap Islam boleh menjadi jalan memudahkan tugas mereka.
Melalui beberapa mesyuarat dan perbincangan, mereka mula mengenali May dengan lebih dekat. Hubungan profesional mereka akhirnya berkembang menjadi lebih peribadi, membuatkan kedua-duanya mula tertarik kepada May lalu mengancam persahabatan mereka yang sudah lama terbentuk.
Dalam perjalanan spiritual May mendekati Islam, May memilih nama Jannah yang bermaksud syurga selepas memeluk Islam.
Perubahan ini memberi nafas baharu kepada hubungan mereka bertiga, mendekatkan mereka tetapi turut mencetuskan konflik dalaman.
Kemunculan Zain Rizman, iaitu ketua agensi pesaing pula mengeruhkan keadaan dengan taktiknya yang licik untuk menggagalkan setiap langkah Firdaus dan Naim, memberikan tekanan hebat buat mereka.
Selepas pertemuan rahsia antara kedua-dua jejaka ini bersama May secara berasingan terbongkar, suasana menjadi bertambah tegang dan persahabatan mereka diuji ke tahap maksimum.
Firdaus dan Naim kemudiannya sepakat membiarkan yang terbaik memenangi hati Jannah.
Konflik antara mereka semakin memuncak apabila masing-masing berlumba mendapatkan perhatian Jannah secara terang-terangan, menyebabkan ketegangan yang membuak-buak.
Drama lapan episod arahan Faliq Sharif dan diterbitkan Lumatic Films ini menampilkan lakonan hebat Nabil Aqil, Tracie Sinidol, Zarif Ghazzi, Steve Yap, Liza Abdullah dan ramai lagi.
Antara Dua Syurga disiar bermula 3 Januari lalu setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3. Ia boleh di strim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my.
Dapatkan info terkini mengenai drama kegemaran anda menerusi laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
© New Straits Times Press (M) Bhd