'Diminta cipta kontroversi, mereka kata saya terlalu 'bersih'' – Adriana Adnan

'Diminta cipta kontroversi, mereka kata saya terlalu 'bersih'' – Adriana Adnan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara, Adriana Adnan, 31, mendedahkan dia pernah diminta mencipta kontroversi semata-mata untuk kekal relevan dalam industri seni disebabkan dirinya dianggap terlalu ‘bersih’.

Menerusi hantarannya di Threads, Adriana berkongsi, walaupun dia dianggap tidak mempunyai nilai untuk dijadikan berita, tetapi baginya, maruah diri dan keluarga lebih penting.

“Ada orang dalam industri sampai suruh saya cipta kontroversi untuk kekal relevan, mereka kata saya terlalu ‘bersih’. Tak ada nilai berita.

“Sebab industri kita akan pilih orang yang selalu keluar berita, viral atau yang ada penglibatan media sosial yang tinggi. Tapi untuk saya, maruah diri dan keluarga lebih penting. Saya tak akan korbankan perkara itu,” tulisnya.

Dalam hantarannya yang lain, Adriana mendedahkan sepanjang 10 tahun penglibatannya sebagai anak seni, dia sering diasak dengan permintaan untuk menguruskan badan selain dianggap sudah ‘tua’.

Kongsi Adriana di hantarannya yang lain, dia sentiasa memberikan komitmen 100 peratus untuk setiap naskhah, termasuk melakukan transformasi drastik seperti yang pernah dilakukan dalam drama Seribu Nina dan Impiana: Karma.

“Entahlah, saya pun tak tahu apa industri ini nak. Kalau mereka suruh saya kurus untuk sesebuah watak, saya mampu kuruskan badan. Saya rasa saya paling kurus dalam drama Seribu Nina.

“Kalau mereka nak saya potong rambut, saya potong rambut gaya potongan bob daripada rambut paras pinggang untuk drama Impiana: Karma. Saya akan buat apa-apa untuk sesebuah watak selagi mampu dan munasabah. Saya rasa mereka masih tak nampak perkara itu,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, Adriana bersyukur dengan orang sekelilingnya yang sentiasa percayakan bakatnya, menyokong dan memilihnya.

“Semua ini buat saya tertanya, adakah mereka hanya mengeluarkan alasan rambang semata-mata untuk menolak saya? Adakah mereka cuba menjatuhkan saya dan membuat saya berasa sengsara?

“Kepada yang hanya mencari kekurangan saya hanya kerana awak tidak menyukai saya atau mempunyai pilihan yang lebih baik, semoga berjaya. Mari kita lihat berapa lama ia akan bertahan,” tulisnya lagi.

Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen memuji prinsip Adriana yang lebih mementingkan maruah diri dan keluarganya demi menjaga nama baiknya dalam industri seni ini.

“Bagus, Adriana. Tak semua yang dalam industri ada pemikiran seperti awak. Jadilah diri sendiri dan percaya dengan bakat awak,” tulis netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top