Dino Nico diserang stroke

Dino Nico diserang stroke

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Nico G, Dino diserang stroke dibahagian kanan badan, tiga minggu lalu sewaktu berada di tempat kerja di Kenanga Mall.

Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli, 50, yang bekerja sebagai jurujual di kedai pakaian berkata, serangan stroke terjadi ketika dia sedang bekerja.

“Tiba-tiba saya rasa kebas tangan dan selepas itu, saya jatuh. Majikan saya segera kejarkan saya ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan mendapatkan rawatan.

“Doktor sahkan saluran darah saya tersumbat. Dua minggu saya berada di hospital untuk rawatan dan selepas itu dibenarkan keluar dan berehat di rumah.

“Doktor bekalkan ubat darah tinggi dan cair darah. Bagaimanapun saya belum pulih sepenuhnya kerana tangan kanan dan kaki kanan belum boleh digerakkan,” katanya kepada Harian Metro.

Dino berkata, dia perlu berjumpa doktor lagi untuk rawatan susulan selepas ini.

“Memang agak terkejut apabila saya kena stroke sebab saya tiada kencing manis atau darah tinggi sebelum ini. Tapi keluarga saya, mak dan bapa ada sakit itu.

“Saya tiada tanda-tanda penyakit itu kerana sebelum ini aktif bersukan dan berpeluh. Cuma saya ada rasa kebas tangan dan kaki tapi saya anggap perkara biasa.

“Saya pun dah lama kerja dengan majikan ini, sekarang saya berehat kerana dapat cuti sakit. Tapi saya bimbang kalau lama sangat cuti sakit, saya akan hilang kerja,” katanya.

Menurutnya dia kini risau akan kehilangan sumber pendapatan tetap untuk membayar segala kos berkaitan.

“Saya sekarang turut menjalani proses urutan dan kosnya RM200 untuk sekali urut. Saya amat berharap sekiranya ada mana-mana pihak bermurah hati menyalurkan sumbangan kepada saya,” katanya.

Nico G (dahulu Nico) adalah sebuah kumpulan hip hop Malaysia yang ditubuhkan pada 1992. Selain Dino, ia turut dianggotai oleh Allahyarham Nico dan Affa.

Sementara itu, sumbangan kepada Dino boleh dibuat menerusi akaun CIMB 7003906375 (Mohd Shah Rosli).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top