KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Hilal Azman tidak menyangka lakonannya dalam filem Memori melayakkannya membawa pulang trofi Pelakon Terbaik Asia Pasifik ke-61.
Menerusi acara kemuncak di Macau, China pada Februari, Hilal berjaya menumpaskan saingan terdekat dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Filipina dan China:
“Sebelum ini saya pernah menang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seri Angkasa tapi kali ini baru saya dapat anugerah Pelakon Terbaik Asia Pasifik, Alhamdulillah bukan mudah kerana kami telah mengalahkan negara-negara lain.
“Syukur Allah beri saya rezeki ini. Kalau di Malaysia menang anugerah Pelakon Terbaik hanya di negara kita sahaja, jadi saya bersyukur dengan kemenangan lebih besar ini,” katanya.
Hilal ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media tayangan perdana filem Memori di sini, baru-baru ini.
Mengulas karakter Hussain seorang menghidap alzheimer yang dibawanya, Hilal melakukan kajian dengan menonton video selain memerhatikan keadaan keluarga terdekat yang turut mengalami penyakit itu.
“Saya buat penyelidikan daripada perjalanan hidup arwah bapa pengarah itu sendiri. Dia tunjuk dalam video bagaimana bapanya bergerak, bercakap dan menjerit.
“Babak jerit yang saya lakonkan, pengarah terpaksa buka headphone kerana dia menangis dan dapat rasa sama seperti apa dilakukan oleh bapanya sebelum ini.
“Saya hanya dapat ‘rasa’ melalui video yang ditonton dan berkat ajaran daripada sembilan guru lakonan serta pengalaman 46 tahun berlakon membuatkan saya mampu membuat improvasi dengan baik,” ujarnya.
Difahamkan, filem Memori telah meraih lebih 20 anugerah di luar negara daripada pelbagai festival dan majlis penghargaan filem.
Filem Memori bakal ditayangkan bermula 31 Julai. Turut menjayakan filem ini ialah Diana Danielle dan Hisyam Hamid. -UTUSAN