Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, akan memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat daripada BERSATU bulan lalu.
Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, yang berkata sehingga kini usaha bagi membuka laluan terhadap Ketua Pembangkang terbabit memimpin parti tersebut hampir pasti.
Hamzah akan pimpin Parti Keluarga Malaysia
“Perbincangan sudah diadakan sebanyak dua kali bersama Datuk Seri Hamzah dan ahli Parlimen lain (yang dipecat BERSATU) termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Perbincangan terbaharu adalah minggu lalu pada Khamis dan boleh dikatakan 90 peratus sudah pasti Hamzah akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia,” katanya.

Hamzah dipecat keahliannya daripada BERSATU pada 13 Februari lalu berdasarkan keputusan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Turut dipecat ialah tiga Ahli Parlimen lain iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hasan (Padang Rengas).
Seorang lagi Ahli Parlimen yang berada dalam kem Hamzah, Datuk Seri Saifuddin Abdullan (Indera Mahkota) sudah dipecat terlebih dahulu sebelum ini.
Sementara itu, Khairi berkata proses selepas ini membabitkan persetujuan semua pihak dan isu berkaitan pelantikan perjawatan. Beliau menambah bahawa akan ada proses pemilihan kelak bagi menentukan kedudukan Ahli Parlimen Larut sebagai Presiden parti terbabit.
“Sekarang ini semua ‘on track’. Akan ada pemilihan untuk lantik Datuk Seri Hamzah sebagai Presiden dan kita sedang susun perlembagaan parti bagi membolehkan perkara itu direalisasikan,” katanya.

Artikel lain: “Hamzah tak layak duduk situ, patut malu kekal sebagai Ketua Pembangkang”- Muhyiddin
Sebelum ini, beberapa rundingan dibuat bagi menentukan rumah baharu Hamzah termasuk parti BERJASA.
BERJASA menyertai beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sejak penubuhannya pada 1977, namun pencapaian pilihan rayanya lebih tertumpu kepada era awal penubuhan parti berkenaan.

Pada akhir 1970-an, khususnya dalam Pilihan Raya Umum 1978, BERJASA bertanding di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama di Kelantan.
Sumber: BH Online (Suzalina Halid)




