am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi (IPTA) yang juga warga emas kerugian RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan penanaman pokok kenaf tidak wujud.
Mangsa, lelaki berusia 60 tahun dilaporkan menemui seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil sebuah syarikat penanaman kenaf pada Jun dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata dalam pertemuan sepanjang tempoh itu, individu terbabit menawarkan mangsa mengenai pelaburan penanaman pokok kenaf.
Menurut Shahrulanuar, mangsa juga diberikan penerangan mengenai pelaburan itu dan dijanjikan menerima dividen sebanyak tiga peratus setiap tahun.
“Mangsa yang tertarik dan berminat dengan pelaburan itu akhirnya menandatangani beberapa dokumen perjanjian.
“Pada tarikh sama, mangsa membuat pemindahan wang ke dalam satu akaun bank syarikat secara berperingkat berjumlah RM200,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, daripada jumlah pelaburan itu, mangsa menerima dividen sebanyak RM30,000 namun sejak Januari tahun lalu, lelaki itu tidak lagi menerima apa yang dijanjikannya.
“Mangsa mula mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.
“Justeru, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan promosi pelaburan yang kononnya mampu menjanjikan pulang lumayan.
“Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, polis menasihatkan orang ramai melayari Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapat maklumat terkini mengenai jenayah komersial,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




